Skip to main content
Berita TempatanHomeSelangor

Selangor Catat Kes Demam Denggi Tertinggi

By 4 Februari 2016Tiada komen2 minit bacaan

Oleh: Abdul Razak Zakaria BANGI, 4 Feb (Malaysiaaktif) – Selangor kekal menjadi penyumbang utama dengan mencatatkan sebanyak 49% kes demam denggi di Malaysia. Pada tahun ini sahaja sehingga kelmarin sebanyak 7,355 kes dengan 12 kematian dicatatkan di Selangor.

Menurut Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam yang ditemui ketika melawat kawasan utama denggi di Apartmen Seri Cempaka Seksyen 16 Bandar Baru Bangi, di sini pagi tadi, sempena musim perayaan ini, penghuni premis hendaklah memastikan tiada bekas-bekas menakung air yang boleh membiakkan Aedes semasa pulang bercuti. Jika nyamuk ini dapat dihapuskan maka penyakit seperti Zika juga dapat dicegah.

Sehingga kini, sebanyak 206 dari 805 lokasi wabak denggi di Selangor dilaporkan berlaku di daerah Hulu Langat. Daripada jumlah tersebut, 44 lokasi utama dikenal pasti melibatkan sebanyak 1,628 kes.

Wabak demam denggi telah berlaku di Apartmen Seri Cempaka sebanyak enam kali pada tahun lepas dan yang terpanjang selama tiga bulan. Kadar pembiakan Aedes di apartmen ini mencatatkan 2.6% iaitu hampir tiga kali ganda berbanding kadar sensitif.
Punca pembiakan dikenal pasti banyak ditemui di luar rumah iaitu sebanyak 67% di tempat-tempat pembuangan sampah sementara 33% pembiakan ditemui di dalam bekas-bekas penyimpanan air di rumah.

Tambah Subramaniam, pemimpin dan masyarakat setempat hendaklah memainkan peranan yang lebih aktif bagi menggerakkan aktiviti gotong-royong di kawasan ini. Tindakan segera daripada masyarakat amat diperlukan bagi memastikan demam denggi dapat dicegah.

Sementara itu, sehingga kini Malaysia mencatatkan peningkatan sebanyak 15.1% dengan 15,251 kes demam denggi dan 37 kematian berbanding 13,252 kes bagi tempoh yang sama tahun 2015.

Abdul Razak/SF

Tinggalkan komen anda