Skip to main content
HomeSains & TeknologiViral

Telematik Bebankan Pengusaha Bas Ekspres – Konsortium

By 15 Februari 2016Tiada komen2 minit bacaan

KUALA LUMPUR, 15 Feb — Peraturan syarikat insurans yang mahukan setiap bas ekspres memasang peranti telematik untuk memantau pemandu bas bagi mengurangkan kemalangan menjadi bebanan kepada pengusaha bas.

Pengarah Urusan Konsortium Transnasional Berhad Tan Sri Mohd Nadzmi Mohd Salleh berkata ia berikutan syarikat-syarikat bas telah memasang peranti Sistem Pemantauan Global (GPS) yang digunakan sejak dua tahun lalu yang terbukti lebih berkesan dan menjimatkan kos.

“Pemasangan peranti baharu itu dikhuatiri hanya akan membebankan lebih 180 pengusaha bas ekspres kerana ia memerlukan kos pemasangan dan penyelenggaraan yang lebih tinggi berbanding GPS,” katanya pada sidang berita di sini hari ini.

Mohd Nadzmi berkata kedua-dua alat berkenaan mempunyai fungsi yang sama iaitu digunakan untuk mengesan kesalahan trafik dilakukan pemandu bas ekspres.

Untuk itu, kajian lebih terperinci perlu dibuat oleh pihak yang berkenaan sebelum dikuat kuasa, katanya.

Baru-baru ini Malaysian Motor Insurance Pool (MMIP) mengeluarkan notis arahan pemasangan peranti telematik bernilai RM2,500 di setiap bas sebelum perlindungan insurans dikeluarkan.

Kegagalan syarikat bas untuk memasang peranti itu menyebabkan insurans perlindungan syarikat yang berkenaan tidak dapat diperbaharui.

Dalam perkembangan lain, Mohd Nadzmi mahu kerajaan mengkaji semula kenaikan kadar tambang bas ekspres berikutan kali terakhir ia dinaikkan pada tahun 2008.

Beliau berkata, kadar tambang bas ekspres yang diguna pakai pada masa ini adalah berdasarkan perkiraan kos yang dibuat sejak lapan tahun lalu dan tidak pernah dikaji semula sehingga kini.

“Sudah tiba masanya untuk menaikkan kadar tambang bas ekspres, saya percaya ia boleh menjadi situasi menang-menang antara pengusaha dan pengguna di mana kita akan mampu meningkatkan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan,” katanya.

— BERNAMA

 

Tinggalkan komen anda