Skip to main content
Home

“Air Dan Pekerjaan” Tema Sambutan Hari Air Sedunia

By 24 Mac 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Syed Hisham Shah (Putrajaya)

PUTRAJAYA, 24 Mac (Malaysiaaktif) –  Penglibatan Malaysia dalam Sambutan Hari Air Sedunia setiap tahun menunjukkan keprihatinan negara dalam mengurus sumber air dengan efektif.

Bertemakan “Air dan Pekerjaan,” masyarakat berpeluang menghayati kepentingan air di dalam setiap pekerjaan sebagaimana air merupakan nadi kehidupan manusia.

Berucap pada Majlis Sambutan Hari Air Sedunia Peringkat Kebangsaan, Menteri Sumber Asli Dan Alam Sekitar, Datuk Sri Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengingatkan masyarakat supaya sama-sama memainkan peranan dalam memelihara kualiti sumber air secara tidak langsung menjamin keperluan kehidupan asas manusia.

“Dalam kita tidak sedar, sebahagian besar kehidupan ini dijana dengan peranan yang sangat penting oleh sebahagian daripada masyarakat dunia yang menjadikan sumber air sebagai mata pencarian dan sumber ekonomi, ” Ujar beliau dalam ucapannya di sini pagi tadi.

 

IMG_20160324_084615

 

Sumber air kini diberi tumpuan khas dalam agenda global melalui “Sustainable Development Goals” (SDG) yang telah menggariskan 17 Matlamat Pembangunan Mampan bagi mengatasi pelbagai isu terutamanya isu pengurusan sumber air dan perkhidmatan air.

Berdasarkan kajian Review of the National Water Resources Study (2000-2005) yang dijalankan Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia, lima negeri dikenalpasti mempunyai permintaan melebihi bekalan sumber air iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Melaka.

Bagi meningkatkan keberkesanan pengurusan sumber air, sebanyak RM49.5 juta telah diperuntukan bagi melaksanakan Program Pembangunan Sistem Water Balance bagi Pengurusan Sumber Air Negara (Fasa I).

Sambutan Hari Air Sedunia yang disambut pada 22 Mac setiap tahun merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sejak tahun 1993 bertujuan meningkatkan kesedaran dan membaharui tekad semua lapisan rakyat di dunia dalam menangani isu-isu berkaitan air melalui pelan strategic dan pelaksanaan tindakan oleh setiap Negara di seluruh dunia.

Dalam perkembangan berkaitan fenomena cuaca panas yang melanda negara kini, Wan Junaidi menegaskan, terdapat hanya empat empangan yang berada dalam kategori kritikal iaitu bawah 50 peratus ekoran kejadian gelombang haba sekarang.

Empat empangan tersebut adalah Empangan Padang Saga, Langkawi, Kedah, Empangan Labong, Johor, Empangan Kwong, Kelantan dan Empangan Timah Tasoh, Kangar, Perlis.

Tinggalkan komen anda