Oleh Mohd Zahari Zakaria (Bukit Mertajam)
BUKIT MERTAJAM, 16 Mac (Malaysiaaktif) – Dalam cuaca panas yang melanda negara, ramai yang mencari alternatif lain untuk melegakan kehangatan. Selain peningkatan penggunaan pendingin hawa, fenomena El-Nino ini turut menyumbang kepada pendapatan tambahan yang lumayan kepada peniaga cendol.
Menurut pemilik gerai Kulim Best Cendol, Sangita Jeyaram, cuaca panas yang berlaku ini memberi rezeki yang murah kepadanya kerana hampir setiap masa ada sahaja pelanggan yang datang ke gerainya untuk mendapatkan cendol.
“Kadang-kadang tak menang tangan untuk melayan pelanggan yang ramai, ada yang mahu makan di gerai dan ada juga mahu bungkus.”
Sangita yang mengusahakan gerai cendol bersama ayahnya itu menjual cendol dengan harga RM2.00 semangkuk dan RM2.50 sebungkus.
Sementara itu, menurut salah seorang pelanggan, Ravindran, 30, cuaca yang agak panas kini menyebabkan kita cepat haus dan dahaga. Untuk menghilangkannya, kita boleh makan cendol bagi menyejukkan badan dan mengurangkan keletihan.
Seorang lagi pelanggan yang turut ditemu bual Malaysiaaktif, Ah Teh, 67, berkata, selain rasa yang sedap dan harga yang berpatutan, kita perlu makan makanan yang berasaskan air dengan lebih banyak supaya badan lebih bertenaga, terutamanya dalam keadaan cuaca yang panas pada ketika ini.
Gerai Kulim Best Cendol yang terletak di tepi jalan utama, Jalan Kulim – Bukit Mertajam ini dibuka mulai 11.30 pagi sehingga 5.30 petang.
Sebelum ini Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mengeluarkan kenyataan bahawa negara akan dilanda fenomena Ekuinoks pada 20 Mac 2016.