Skip to main content
Berita TempatanHomeSabahViral

Pendekatan Dakwah Dipelbagai, Tarik Minat Gen-Y

By 17 Mac 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Muhammad Khairul Azad Yunus & Shahvian Muhammad Razali (Sabah)

KOTA KINABALU, 16 Mac 2016 (Malaysiaktif) –? Pendekatan dakwah di negeri ini akan dipelbagaikan untuk menarik minat umat Islam terutama generasi muda.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Dr. Yusri Mohamad berkata pihaknya akan mencari formula yang lebih berkesan untuk membantu  agensi – agensi berkaitan hal ehwal Islam memperhebat aktiviti dakwah demi kemakmuran umat Islam.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Dr Haji Juhar Datuk Haji Mahiruddin di Istana Negeri, pagi tadi.

“YADIM Sabah akan memberi tumpuan kepada generasi muda yang sedang dihimpit ancaman pemikiran dan gaya hidup untuk disuntik dengan kemantapan jati diri agar tidak terus hanyut dalam cabaran kehidupan kini,” ujarnya.

Tambahnya, kunjungan  tersebut bertujuan mendapat pandangan, nasihat dan panduan daripada Tun Juhar dalam pergerakan dakwah di Sabah.

“Tun turut mengingatkan agar tidak melupakan bimbingan golongan  ulama tempatan dalam gerakan dakwah agar  lebih efektif kepada umat Islam,” jelas Yusri.

Sementara itu, menurut Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Haji Mohd. Arifin Haji Mohd Arif yang turut serta dalam kunjungan berkenaan, Jawatankuasa Khas Penyelarasan Dakwah dan Hal Ehwal Islam akan bermesyuarat dua bulan sekali bagi merangka strategi dakwah.

“Semua agensi dakwah di Sabah akan membentangkan perancangan program dakwah sepanjang tahun untuk diselaraskan agar lebih sesuai dan mendapat kerjasama semua pihak.

“YADIM juga telah membantu dengan menggerakkan pendakwah-pendakwah muda yang berkelulusan agama di seluruh daerah di Sabah,” tambahnya.

Tinggalkan komen anda