Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Lumba Perahu Panjang Erat Hubungan Malaysia-Thailand

By 6 Mac 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Laporan/Foto: Noreham Ahmad/Wan Noriza Wan Jaafar/NorDianah Mohd Zain/Nur Farkhirah Zainal Abidin (Tumpat)

TUMPAT, 5 Mac (Malaysiaaktif) – Perjanjian Bangkok 1909 telah memisahkan sempadan geo-politik bagi masyarakat Kelantan dan Melayu Pattani di Selatan Thailand. Kedua-dua komuniti yang sebelum ini mempunyai hubungan pertalian darah serta sosio-budaya menjadi semakin terasing dan terpisah.

Hakikatnya komuniti bandar sempadan ini khususnya di Tumpat, Pasir Mas, Rantau Panjang, Bukit Bunga dan Jeli masih mengongsi citra budaya yang sama seperti mana komuniti Melayu Pattani di Takbai, Sungai Golok serta Bukit Thai. Hubungan kekeluargaan dan perniagaan masih berterusan hingga kini.

 

20160306031433

 

Hubungan murni antara masyarakat dan Kerajaan dua negara ini menjadi semakin erat dengan berlangsungnya Pertandingan Perahu Panjang Antarabangsa 2016 di Pantai Ndoi, berhadapan Padang Mahkota, Tumpat semalam (5 Mac 2016).

Acara yang diterajui oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia dengan kerjasama pelbagai agensi Persekutuan dan Negeri telah berjaya menarik penyertaan luar iaitu Pejabat Gabenor Wilayah Narathiwat serta Pejabat Daerah Tak Bai dari Selatan Thailand.

Antara pasukan perahu panjang tempatan yang menyertai pertandingan ini ialah daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Pasukan Bomba dan Penyelamat (BOMBA), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Majlis Daerah Tumpat serta Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Perlis.

 

20160306031433 (1)

 

Di samping pertandingan perahu panjang, pelbagai acara kebudayaan dan kesenian masyarakat Melayu Kelantan dan Melayu Pattani turut dipersembahkan.

Pertandingan ini menyaksikan persembahan kepakaran pengendalian dan perlumbaan 8 pasukan perahu panjang. Kesemua perahu yang digunakan untuk acara ini, disediakan oleh pihak penganjur.

Pasukan perahu panjang dari Pejabat Gabenor Wilayah Narathiwat telah dinobatkan sebagai juara dengan membawa pulang wang tunai RM2,500 beserta piala, medal, sijil dan plak. Manakala tempat kedua disandang oleh pasukan daripada Pejabat Daerah Tak Bai dengan hadiah berupa tunai RM2,000 berserta medal, sijil dan plak. Pasukan tempatan yang merupakan tuan rumah iaitu Majlis Daerah Tumpat menduduki tempat ketiga dengan hadiah RM1,500 berserta medal, sijil dan plak.

Menurut Pengurus Pasukan Pejabat Gabenor Wilayah Narathiwat, Nik Jid Nik Lah, 48, merangkap Timbalan Datuk Bandar Narathiwat, ini merupakan julung-julung kalinya mereka menyertai pertandingan yang diadakan di Kelantan dan berasa gembira dengan sambutan serta keraian yang diterima.

“Penyertaan pasukan mereka (Thailand) dalam pertandingan ini juga bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan antara dua negara iaitu Malaysia dan Thailand,” katanya.

Acara ini merupakan salah satu platform yang terbaik dalam memperkenalkan budaya masyarakat Kelantan terutamanya kepada pihak luar disamping dapat mengukuhkan hubungan antara dua negara, ujar Nik Jid lagi.

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda