Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Menegur Pemimpin Perlu Ada Adab – Rais Yatim

By 5 Mac 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 5 Mac (Malaysiaaktif) – “Mengkritik kerajaan dan pemimpin perlu dibuat secara profesional dan beradab agar kerajaan dapat mengetahui bahawa Perdana Menteri tidak terjerumus dalam perangkap pihak tertentu dan sebarang dakwaan yang tidak berasas”, demikian komen Tan Sri Rais Yatim ketika diminta mengulas isu Tun Mahathir Mohamad bersama pemimpin-pemimpin pembangkang menandatangani deklarasi mendesak Perdana Menteri meletak jawatan semalam.

Tan Sri Rais Yatim yang juga Penasihat Kerajaan dalam Hal Ehwal Sosio Budaya, berpendapat bahawa tidak ada pihak yang boleh memaksa Dato Sri Mohd Najib meletak jawatan dan Perdana Menteri hanya boleh digantikan melalui satu mekanisme sahaja iaitu pilihanraya umum.

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas merasmikan Pra-Pelancaran IIUM Global Home Coming 2016 yang diadakan Dewan Bankuet, Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) Kampus Gombak petang tadi yang turut dihadiri Dato Sri Reezal Merican Naina Merican, Timbalan Menteri Luar Negeri yang merupakan alumni UIAM.

Tambah beliau, perbuatan Tun Mahathir itu tidak pernah berlaku sebelum ini malah tidak diduga bahawa bekas Perdana Menteri itu berbuat demikian kerana beliau merupakan seorang yang dikenali tidak mesra dengan pemimpin pembangkang sebelum ini.

“Tun Mahathir jangan keterlaluan untuk meminta Najib meletak jawatan kerana semasa era beliau dahulu banyak isu timbul tetapi saya sebagai salah seorang anggota kabinet menghormati beliau pada masa itu”, tambah beliau.

Beliau turut menasihatkan agar Dato Sri Najib berwaspada dan memperbaiki beberapa kelemahan serta disiplin pemimpin dan kerajaan supaya ia tidak memberi ruang kepada kritikan pembangkang untuk menjatuhkan Perdan Menteri.

Datuk Seri Reezal Naina Merican yang merupakan anggota Majlis Tertinggi (MT) pula berkata, perbuatan Tun Mahathir itu tidak boleh dimaafkan kerana sebarang kritikan kepada parti dan pemimpin perlu ada beradabnya.

“Saya juga sering bersikap kritis dalam mesyuarat MT tetapi ia tidak perlu dihebahkan kepada umum malah sehingga mendesak Perdana Menteri meletak jawatan”, ujar beliau.

Beliau menambah di dalam Islam pun diajar cara menegur seseorang dengan cara beradab kerana yang penting adalah jemaah (rakyat) tidak menjadi kucar kacir.

 

Tinggalkan komen anda