Skip to main content
HomeViral

Panas Sekarang Kembali Normal Pada Jun – Che Gayah

By 8 Mac 2016Tiada komen1 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

KUALA LUMPUR, 8 Mac  — Cuaca panas yang dialami sekarang diramal kembali normal pada bulan Jun, kata Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi, Datuk Che Gayah Ismail.

Beliau berkata ini berkutan fenomena El Nino yang mengakibatkan cuaca menjadi panas dijangka berakhir mulai bulan itu.

El Nino yang dikesan pada bulan Disember tahun lalu hingga Januari lepas, didapati mula menurun dan dijangka terus menjadi lemah, katanya kepada Bernama.

Che Gayah berkata peralihan monsun pada bulan April ini juga dijangka akan mengurangkan kesan cuaca panas kerana hujan dan ribut petir diramal kerap berlaku terutama pada waktu petang.

“Namun walaupun El Nino berada dalam keadaan neutral mulai bulan Jun, tetapi negara akan mengalami musim kering semasa monsun barat daya dari bulan Mei hingga September,” katanya.

El Nino merupakan fenomena pemanasan suhu permukaan laut di timur dan tengah Lautan Pasifik kawasan Khatulistiwa yang berlaku setiap dua hingga tujuh tahun.

Fenomena El Nino kuat yang pernah melanda negara ialah pada tahun 1997/1998 dengan suhu tertinggi dicatatkan pada 40.1 darjah Celsius di Chuping, Perlis.

 

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda