KUALA LUMPUR, 8 Mac — Malaysia tidak perlukan sebarang pelan kontingensi ekonomi ketika ini kerana negara mempunyai fundamental yang semakin baik selain langkah pengubahsuaian Bajet 2016 yang telah menunjukkan kesan positif, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata keputusan itu berdasarkan kepada perkembangan harga minyak dunia yang menjadi petunjuk utama kepada belanjawan negara.
“Indikator ini yang paling sensitif kepada belanjawan negara…seandainya harga minyak dunia jatuh dengan mendadak bawah US$30 setong secara konsisten, bukan sehari dua…seandainya harga minyak jatuh pada US$20 setong secara konsisten, pada masa itu kita akan laksana pelan kontingensi,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad (BN-Kuala Kangsar) ketika sessi soal jawab.
Najib berkata ketika ini harga minyak semakin kukuh iaitu pada purata US$40 setong, lebih tinggi berbanding andaian US$30.00 hingga US$35.00 setong yang dibuat ketika Pengubahsuaian Bajet 2016, pada 28 Jan lepas.
Menurutnya, kedudukan nilai ringgit juga semakin baik iaitu pada kadar RM4.00 berbanding US$1.00 dan kerajaan akan terus memantau keadaan semasa.
Menjawab soalan asal Wan Mohammad Khair-il Anuar, Perdana Menteri berkata Pengubahsuaian Bajet 2016 adalah lebih kepada penyesuaian aliran tunai dengan mengagihkan semula peruntukan sesuatu projek atau program pembangunan.
“Kerajaan tidak membatal atau mengurangkan projek yang diluluskan,” tegas Najib.
Beliau berkata, walaupun negara berdepan dengan pengurangan hasil ekoran kejatuhan harga minyak mentah dunia, kerajaan akan memastikan perbelanjaan dibuat secara optimum serta pelaksanaan program dan projek berimpak tinggi akan diteruskan.
Selain itu, katanya, Kementerian Kewangan pada 1 Mac lepas telah mengeluarkan satu garis panduan arahan mengenai langkah-langkah mengoptimumkan perbelanjaan kepada semua ketua jabatan dan agensi untuk mengurus dan menyusun semula sumber kewangan masing-masing agar sesuai dengan agenda nasional.