Skip to main content
HomeViral

PAUiTM Mahu Jadi Sehebat Alumni Tersohor Dunia

By 20 Mac 2016Tiada komen2 minit bacaan
Oleh Norila Daud

SHAH ALAM, 20 Mac – Persatuan Alumni UiTM (PAUiTM) Malaysia mula mendapat perhatian daripada beberapa alumni institusi pengajian tinggi tempatan untuk dijadikan contoh bersama-sama  gelombang Semangat Alumnisme yang dibentuk hasil kerja keras barisan kepemimpinannya selama ini.

Presidennya, Datuk Zaini Hassan berkata, walaupun PAUiTM diwujudkan semula enam tahun lalu, namun berjaya menjadi sebuah pertubuhan yang disegani dan menjadi sebutan pelbagai pihak sejak kebelakangan ini.

Menurut beliau, semangat alumnisme  itu perlu terus diperkasa bagi memastikan institusi keramat UiTM diangkat menjadi sebuah menara gading yang disegani dan disanjung tinggi di persada negara dan antarabangsa.

“Sebagai alumni UiTM, kita seharusnya menjadi katalis bagi menjayakan matlamat tersebut. Justeru, hubungan simbiosis antara UiTM-PAUiTM perlu diperteguh dari semasa ke semasa dalam memastikan matlamat yang ingin dicapai dapat dilaksanakan,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Agung PAUiTM Malaysia (2008) Ke-6 di sini semalam.

Beliau turut mahu melihat PAUiTM Malaysia menjadi sehebat alumni-alumni tersohor dunia seperti Harvard, Amerika Syarikat  dan Oxford di United Kingdom yang kekal beratus tahun lamanya dengan struktur yang kukuh dan mantap.

Dengan jumlah 640,000 alumni UiTM, kata beliau, PAUiTM mempunyai kekuatan yang cukup besar bagi memastikan gelombang itu berlaku.

“ Adalah menjadi hasrat kami di PAUiTM supaya kesemua Persatuan-persatuan Alumni UiTM di seluruh negara yang mewakili kampus-kampus negeri, fakulti, kursus malah batches dan class of year dapat disatukan menjadi sebuah pertubuhan yang kuat.

“Untuk merealisasikan penyatuan itu, PAUiTM membentuk Joint Consultative Council (JCC) atau Majlis Perundingan Bersama sebagai sebuah badan ad hoc untuk berbincang dengan semua persatuan tersebut,” jelas Zaini.

Beliau berharap penyatuan persatuan-persatuan tersebut akan membolehkan Persekutuan Persatuan Alumni UiTM Malaysia dibentuk sebagai sebuah payung besar yang mewakili kesemua persatuan alumni UiTM.

Dalam pada itu Zaini memberitahu, penubuhan Persekutuan Persatuan Alumni UiTM itu akan dilancarkan sempena sambutan Ulang Tahun UiTM ke-60 Julai ini.

Di bawah entiti baharu itu jelas beliau, presiden persatuan-perrsatuan alumni yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) akan menduduki majlis tertinggi persekutuan itu. Kesemua presiden berkenaan layak bertanding untuk meneruskan kesinambungan kepemimpinan Persekutuan Persatuan Alumni UiTM Malaysia bagi membolehkan gelombang Alumni UiTM dapat dibentuk dan kekal selama-lamanya.

Beliau juga menyebut tentang Program Emas PAUiTM iaitu Tabung Pendidikan 1 Bilion (TP1B) dan meminta kerjasama para alumni terus memberi sokongan kepada tabung yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 11 April 2015.

 

-pauitm

Tinggalkan komen anda