
Oleh Norela Daud (pauitm)
SHAH ALAM, 20 Mac – Tokoh Keusahawanan Peringkat Asia Pasifik, Datuk Seri Zainul Azman Datuk Zainul Aziz mahu melihat lebih ramai usahawan khusus dalam kalangan alumni UiTM berjaya dan “kaya” bagi membolehkan mereka membantu anak-anak bangsa Melayu mendalami pelbagai bidang pendidikan.
Beliau berkata, orang-orang Melayu seharusnya menjadi kaya dan mewah di negara sendiri. Hanya dengan menjadi kaya, mereka boleh membantu golongan yang memerlukan untuk melanjutkan pendidikan ke tahap lebih tinggi.
Menurut beliau, sejajar dengan matlamat itulah terbentuknya Tabung Pendidikan 1 Bilion (TP1B) yang bertujuan untuk memperkasakan anak bangsa Melayu dalam semua aspek pembangunan. Ini merangkumi bidang yang memerlukan kemahiran tinggi sebagai contoh, kejuruteraan kereta Ferrari untuk acara perlumbaan yang sudah pun diceburi anak-anak Melayu.
Sehubungan itu, beliau menarik perhatian, syarikat Proton sehingga kini berjaya melahirkan sejumlah 10,000 jurutera dalam pelbagai bidang.
“Bidang vokasional yang tidak begitu popular dalam kalangan anak-anak Melayu dahulu, kini terbukti menawarkan pendapatan yang sangat lumayan. Sebagai contoh, bengkel-bengkel kereta dan rangkaiannya boleh menjana pendapatan yang tinggi kepada pengusahanya,” katanya ketika berucap sebelum merasmikan Mesyuarat Agung PAUiTM Ke-6 di sini semalam.
Beliau yang juga Ahli Lembaga Pengarah di beberapa syarikat milik kerajaan (GLC) dan Pengerusi Tabung Haji Travels, Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji Hotels dan Hotel Seri Malaysia meminta UiTM khusus fakulti pengurusan hotel dan pelancongan agar menekankan tentang kemahiran kepemimpinan bagi membolehkan graduan menerajui hotel-hotel dan agensi pelancongan milik syarikat tempatan dengan berkesan.
Beliau berkata, hari ini sebanyak 70 peratus peneraju industri tempatan diterajui oleh kaum bukan Melayu.
“Saya yakin dengan adanya jiwa dan roh Melayu dalam kalangan golongan yang berjaya khusus alumni UiTM, matlamat TP1B dapat dicapai. Jika orang-orang Melayu tidak membantu bangsanya sendiri, siapa lagi yang akan membantu,?” tanya beliau.
Sementara itu, Datuk Paduka Ibrahim Ali yang turut memberi ucapan ringkas pada mesyuarat agung itu mahu menghasilkan sebuah filem dokumentari mengenai perjuangannya sebagai Presiden Kesatuan Siswa ITM bersama-sama pelajar pada tahun 1974 untuk mendapatkan status universiti (UiTM).
Menurut beliau, ITM mendapat status universiti pada 26 Ogos 1999 dan perjuangan itu patut difilemkan sebagai khazanah bangsa Melayu yang berjuang bagi memartabatkan tahap pendidikan dan graduan ITM sebelum mendapat status sebagai universiti.
“Untuk tujuan itu saya memerlukan sokongan dan bantuan kewangan sekurang-kurangnya RM1.5 juta daripada pihak-pihak berkepentingan untuk menghasilkan filem dokumentari tersebut,” katanya.ends