
Oleh: Azimee Abdullah & Sherul Nizam Zakaria (Balik Pulau)
BALIK PULAU, 28 Mac (Malaysiaaktif) – Seramai 250 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 2.0 mendaftar di Kem PLKN White Resort Balik Pulau, Pulau Pinang sempena sesi kemasukan PLKN 2.0 di seluruh negara pada Sabtu lepas.
Menurut Ketua Jurulatih Kem PLKN White Resort, Rashidi Othman, 33, para pelatih akan didedahkan modul baharu dengan beberapa fasa iaitu fasa 1, ‘integrated learning program’ selama lapan minggu dalam kem (wajib) dan fasa 2 ‘hard skill training’ tiga hingga 24 bulan di pusat latihan kemahiran.
PLKN 2.0 memfokuskan kepada program pelan komunikasi media serta penjenamaan yang lebih komprehensif dan mengoptimumkan penggunaan media perdana dan media sosial bagi mendekati tiga sasaran utama iaitu ibu bapa, belia dan majikan berpotensi.
Pemilihan pelatih PLKN 2.0 dilakukan mengikut pencalonan daripada sekolah dan secara sukarela membabitkan pelatih lepasan SPM. Pemilihan secara sukarela akan dilaksanakan sepenuhnya pada 2019 dengan empat kali pengambilan dalam setahun.
Nazri Idris, 40, bapa kepada seorang pelatih dari Kampung Kongsi, Balik Pulau memuji usaha kerajaan melalui PLKN yang menekankan aspek kemahiran di dalam modul terbaharu PLKN 2.0 yang sekaligus memudahkan pelatih bersaing di dalam pasaran kerja apabila tamat latihan kelak.
Sementara itu, Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) dengan dengan kerjasama Kementerian Belia Dan Sukan akan turut menyelaras kemasukan pelatih ke Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA) dan Institut Latihan Kemahiran Swasta (ILKS).