Skip to main content
Berita TempatanSabah

3M Lahir Pengguna Bijak – Musa

By 12 April 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh: Muhammad Khairul Azad Yunus & Vicky Sylverster Matanjang (Sabah)

KOTA KINABALU, 12 Apr (Malaysiaktif) –? Para pengguna digesa supaya menjadi bijak dengan mengamalkan pendekatan 3M iaitu memilih, memboikot dan melapor.

Menurut Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, pengguna perlu membuat laporan sekiranya ada pihak-pihak tertentu yang cuba mengambil kesempatan dengan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

“Jadilah pengguna yang bijak dan menggunakan sepenuhnya hak kita dengan melaporkan kepada pihak berwajib jika terdapat pihak tertentu yang cuba mengambil kesempatan menerusi peningkatan mendadak harga barangan dan perkhidmatan.

“Pengguna juga dapat bekerjasama dengan persatuan-persatuan pengguna yang aktif menggerakkan usaha-usaha kesedaran kepada pengguna,” katanya semasa melancarkan klip video lagu GST di Jabatan Penyiaran Malaysia, Sabah, semalam.

Teks ucapannya disampaikan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.

Jabatan dan agensi berkaitan digesa agar meningkatkan lagi pemantauan berkala terhadap aktiviti di semua peringkat rantaian pengeluaran dan penjualan serta mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab.

Kerajaan Negeri turut menghargai gandingan pelbagai agensi yang menghasilkan klip video GST.

“Saya menyambut baik pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dalam merealisasikan matlamat ini menerusi kerjasama Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Jabatan Kastam Diraja Malaysia Sabah, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sabah, Jabatan Penyiaran Malaysia Sabah dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sabah,” jelasnya.

Musa berharap klip video hasil karya kreatif anak-anak tempatan itu mampu memberi gambaran yang jelas berkaitan pelaksanaan GST.

“Diharap rakyat khususnya para pengguna dan Gen Y akan lebih memahami pelaksanaan GST serta kepentingannya kepada rakyat dan negara.

SF

Tinggalkan komen anda