
Oleh: Eviannie Kin Mei Hoon & James Gimpas (Sabah)
TUARAN, 28 Apr (Malaysiaktif) –? Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melancarkan perkhidmatan Bas Mobile X-Ray yang pertama di Malaysia sebagai inisiatif pencegahan penularan penyakit Tibi.
Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Panglima Madius Tangau, ini menunjukkan kerajaan sentiasa membuat penambahbaikan terhadap perkhidmatan kesihatan sekali gus langkah ini berupaya menaik taraf kualiti rakyat di negeri Sabah.
Katanya, sistem kemudahan kesihatan di Malaysia dianggap antara perkhidmatan yang terbaik di rantau ini.
“Bagi kawasan yang terpencil atau mempunyai sistem pengangkutan yang kurang baik, anggota kesihatan telah diamanahkan untuk mengadakan lawatan perubatan ke kawasan mereka.
Sebahagian besar klinik kerajaan telah lengkap dengan kemudahan mikroskop untuk mendiagnos penyakit tibi,” katanya ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari Tibi Sedunia Peringkat Sabah 2016 di Dewan Tun Hamdan, Tamparuli, pagi tadi.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Dr Jamail Hj. Muhi mewakili Pengarah Kesihatan Negeri Sabah berkata perkhidmatan Bas Mobile X-Ray berkenaan hanya terdapat di Sabah dan Sarawak.
Tambahnya dengan adanya perkhidmatan x-ray saringan tibi bergerak ini akan lebih banyak golongan berisiko tinggi tibi dapat disaring.
“Perkhidmatan bas ini bergerak ke seluruh pelusuk negeri Sabah khususnya ke lokasi yang dikenal pasti berisiko tinggi dengan jangkitan penyakit tibi,” ujar Dr. Jamail.
SF