Oleh Mohamad Azree Mohd Zaki / Che Nor Ismail
RAUB, 25 Apr (Malaysiaaktif) — Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah kelmarin berangkat merasmikan majlis Menyuburkan Budaya Masyarakat Perniagaan Dan Keusahawanan Pahang 2016 di Dewan Jubli di sini Sabtu lepas.
Dalam ucapannya, Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan Negeri Pahang Datuk Seri Shahiruddin Ab. Moin berkata Raja-Raja Melayu merupakan lambang kejayaan bangsa dalam perniagaan.
Menurut beliau, orang Melayu harus mencari peluang dan berani bersaing dengan orang lain dan menyingkirkan budaya ‘Ali Baba’ atau mengambil untung tanpa membuat kerja.
Shahiruddin berkata istana sentiasa menyokong orang Melayu berniaga kerana orang Melayu pada masa ini mampu menghasilkan usaha samada dalam bidang pertanian atau pun bidang pembuatan tanpa berpaut kepada sikap melihat dan tunggu.
Sempena majlis yang dihadiri lebih 2,000 orang itu, beberapa agensi, termasuk Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Persatuan Kontraktor Raub dan MARA turut mengadakan pameran.