Oleh: Azrul Hasan (George Town)
GEORGE TOWN, 8 April (Malaysiaaktif) – Sebanyak 51 peratus individu bujang di Pulau Pinang yang memohon perumahan mampu milik, memilih untuk terus membujang atas dasar masih belum memiliki rumah.
Menurut pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Pulau Pinang (MTPNPP), Datuk Seri Zainal Abidin Osman, isu ini harus diberi perhatian serius kerana pembangunan perumahan mampu milik di Pulau Pinang adalah amat penting.
“Sehingga kini sebanyak 588 unit rumah mampu milik sedang dibangunkan oleh Kerajaan Persekutuan di Pulau Pinang dan akan meningkat dari tahun ke tahun,” ujar Zainal dalam satu sidang media di sini, semalam.
Zainal berharap agar rancangan pembinaan lebih 30 ribu unit rumah baru akan mendapat kelulusan segera daripada pihak Kerajaan Negeri.
Sementara itu, Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) sedang dalam proses akhir permohonan untuk membangunkan 19,556 unit baru.
Zainal berharap agar urusan-urusan projek ini dapat dipermudahkan pihak Kerajaan Negeri, ekoran permohonan PR1MA yang telah melebihi 88 ribu permohonan.
Tambahnya, setakat ini terdapat 26 buah kampung tradisional di Pulau Pinang yang terpaksa dipindahkan atas dasar pembangunan.
“Kerajaan Persekutuan sedang memikirkan penyusunan semula penempatan kampung-kampung ini tetapi memerlukan kerjasama daripada pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang,” ujar Zainal.
Zainal turut memaklumkan bahawa Program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) telah mengemukakan kebenaran rancangan bagi 2,218 unit rumah baru untuk dibina.
“Semua keperluan bagi membina unit-unit rumah memerlukan kerjasama daripada Kerajaan Negeri dan jika sebaliknya, maka usaha membina rumah untuk rakyat Pulau Pinang bakal terbantut” ujar Zainal lagi.
– AH