Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Lebih Filem, Pupuk Semangat Patriotik Gen-Y

By 3 April 2016Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

 Oleh: Haji Ramly Yusoff

TANJUNG MALIM, 2 April (Malaysiaaktif) – Kerajaan khasnya Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) perlu mengambil inisiatif utama menerbitkan filem dan lain-lain interaktif digital bagi meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan Gen Y di Malaysia.

Demikian kata Ku Muhammad Shafiq Ku Mohd Pozi, Panel Terbaik Program Apa Kata Gen Y siri ketiga anjuran Bahagian Gerak Saraf dan Pengurusan Isu (GSPI), Jabatan Penerangan Malaysia(JaPen) bersama Kolej Ungku Omar (KUO), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak semalam.

Cadangan ini katanya amat penting kerana Gen Y hanya dapat menghayati semangat patriotisme melalui saluran yang diminati seperti Internet, telefon pintar atau menerusi paparan sejarah patriotisme menerusi televisyen.

Ku Muhammad Shafiq selanjutnya mengatakan dia sendiri menghayati rasa semangat patriotik apabila menonton filem “Hati Malaya” yang menyaksikan rakyat negara ini berkorban menderma harta benda kepada Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia yang pertama bagi membiayai perbelanjaan rombongan Tunku ke London untuk berunding menuntut kemerdekaan negara daripada penjajah British.

Tambahnya, tabiat mementingkan diri seperti “hendak menang, hendak senang dan hendak kenyang” perlu dihindarkan demi kemajuan negara. Contohnya, rakyat Malaysia telah menyumbang kepada keteguhan ekonomi negara dengan menjayakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST). Tanpa GST, negara kita akan mengalami masaalah ekonomi kerana Petronas tidak lagi mampu menyumbang kepada pendapatan negara akibat kejatuhan harga minyak dunia.

Walaupun terdapat nilai-nilai negatif melanda Gen Y, dia yang juga bakal guru menyeru masyarakat dan pemimpin negara supaya menggunakan nilai-nilai positif sebagai kekuatan Gen Y yang ternyata  “sangat lantang, sangat terbuka dan sangat bermaklumat”  bagi membantu generasi baharu memperkasakan semangat patriotisme.

Sementara itu, ahli panel kedua Mahendran Duraisamy pula berpendapat, menghayati Rukun Negara dengan mempertahankan keluhuran Perlembagaan Malaysia merupakan syarat utama menjayakan semangat patriotisme dalam kalangan Gen Y.

“Gen Y juga diminta supaya tidak menyebarkan perkara-perkara sensitif dan maklumat palsu yang tidak benar supaya negara ini boleh bersatu. Tabiat menjadi juara sebagai orang pertama menyebarkan maklumat yang tidak tepat akan membawa malapetaka kepada negara, khasnya isu perpaduan kaum. Gen Y tidak sepatutnya dijajah oleh media sosial untuk menyebarkan maklumat yang tidak benar, ujar Mahendaran lagi.

Sebagai ahli panel ketiga, Oh Zi Jian menegaskan bahawa selain penghayatan, nilai patrotisme turut memerlukan tindakan matang. Contohnya, menjayakan prinsip kesopanan dan kesusilaan dalam Rukun Negara seperti mahasiswi UPSI yang menutup aurat memakai kain tudung yang cantik.

Menurut Jian lagi, sepupunya yang berumur tiga tahun terlalu minat akan Ipad, bebas melayari Internet sepanjang masa dan amat sukar diawasi oleh orang dewasa. Trend begini amat bahaya sekiranya Gen Y dan ibu bapa tidak mendidik Gen Z supaya menggunakan Internet dengan bijak.

Program “Patriotisme – Apa Kata Gen Y ” berlangsung di Pusat Dewan Kuliah 1 ini dijayakan oleh moderator, Dr Hairul Faiezi Lokman, Pegawai Unit Latihan dan Perkhidmatan UPSI.

Program ini telah dirasmikan oleh Pengarah GSPI mewakili Ketua Pengarah JaPen, Haji Hashim Bedu. Hadir sama ialah Pengetua KUO, Prof Dr Bazrul Bahaman, Pengarah Penerangan Perak, Razali Kidam, dan Puan Ariah Judah, Timbalan Pengarah GSPI selaku Pengerusi Program Apa Kata Gen Y dan Ziarah Kasih UPSI.

 

Tinggalkan komen anda