
Oleh Mohd Muhaimin Amran
Jasin, 30 Apr (Malaysiaaktif) – Pusat Transformasi Komuniti Bergerak (Mobile CTC) perlu diberi keutamaan supaya matlamat utama menyalurkan maklumat dan perkhidmatan terus kepada rakyat membuktikan pendirian serius kerajaan selari dengan slogan ‘Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’.
Demikian menurut Ahli Parlimen Jasin, Datuk Wira Haji Ahmad Hamzah sewaktu merasmikan program Mobile CTC di Tapak Merlimau Sentral, Bandar Baru Merlimau, pagi tadi.
Tambahnya, program yang menawarkan perkhidmatan asas oleh jabatan-jabatan serta agensi kerajaan ini disasarkan kepada penduduk, terutama di luar bandar dan kawasan pedalaman.
Antara kemudahan yang disediakan, termasuk Permohonan Mykad, Lesen Memandu, Klinik Kesihatan dan Pergigian, urusan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Pendaftaran Syarikat, Pameran Agensi, Bayaran Cukai Tanah, Pihak Berkuasa Tempatan, dan Khidmat Nasihat Keusahawanan.
Majlis ini turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Merlimau, Datuk Roslan Ahmad; Exco Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Md Yunos Husin; Timbalan Pengarah MOF, Abdullah Suhaimin Md Yunus dan Pegawai Daerah Jasin, Zamrud Yahya.