Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

Jangan ‘Bulak’ Kita Orang – Adenan

By 30 April 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Diyana Zamri / Foto: Saiful Rahman Sabri

BAU, 30 Apr (Malaysiaaktif) – Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem mengingatkan penduduk di sini agar tidak terpedaya dengan pembohongan oleh calon parti bebas.

Beliau menyangkal dakwaan calon parti bebas kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.18 Serembu, Datuk Peter Nyomek Anak Nyeap yang mendakwa dirirnya sekutu Barisan Nasional (BN) Sarawak.

Tambah Adenan, ini merupakan cubaan Peter untuk memperdaya penduduk setempat dengan mengatakan bahawa dia akan kembali ke BN sekiranya memenangi Pilihan Raya Umum Negeri Sawarak Ke-11 (PRN 11), Sabtu ini.

“Sejak dari awal, saya ingin menjelaskan perkara sebenar. Sila dengar dengan teliti. Jangan tertipu dengan Peter Nyumek. Dia memberitahu orang bahawa dia juga merupakan BN. Dia bukan BN. Jangan bulak (tipu) kita orang!” tegas Adenan.

Menurutnya, terdapat beberapa perkara menyebabkan orang bertanding sebagai calon bebas. Pertama ialah kumpulan calon yang ingin dibeli. Dalam erti kata lain, mereka menjual diri.

 

BIJURAY 3

 

“Kumpulan yang kedua, adalah orang-orang yang tidak dipilih oleh parti [sebagai calon], mereka marah, memberontak dan tidak puas hati. Mereka berkempen kononnya membela nasib rakyat, tetapi sebenarnya membela nasib diri mereka sendiri, dan Peter Nyumek tergolong dalam kumpulan ini,” ujar Adenan di Majlis Pemimpin Bersama Rakyat petang tadi di Balai Raya Kampung Bijuray Mongag, di sini.

Menurutnya, hanya terdapat seorang sahaja calon BN di kawasan itu, iaitu bekas Setiausaha Sulit kepada Timbalan Menteri Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi dan Air Sarawak, Miro Anak Simuh, 44.

Ketika ditemui, Miro menyatakan keyakinan dengan sokongan pengundi terhadap dirinya.

“Saya ini adalah satu produk daripada jenama yang besar. Jenama itu ialah BN. Dan saya percaya bahawa sokongan pengundi terhadap BN tidak berbelah bahagi. Setelah kita menjelajah begitu banyak kawasan dalam Serumbu ini, dari kampung ke kampung, kita telah melihat sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap kita [BN],” jelas Miro.

Ditanya mengenai perancangannya untuk lima tahun akan datang sekiranya dia menang PRN 11 ini, Miro berkata dia ingin menumpukan untuk menaiktaraf pembangunan, termasuk kemudahan asas dan pendidikan.

Seorang penduduk yang ditemui, Baon Anak Apung, 52, berkata dia amat yakin Miro boleh menang majoriti dalam pilihan raya akan datang ini.

“Pendapat saya, dia memang bagus. Memang menang majoriti. Saya yakin dia  memang akan menang. Saya juga memang berpuas hati dengannya. Sebab ketrampilannya bagus, pendidikannya ada, semua ada dia. Itulah [sebab kenapa] Tan Sri Adenan pilih dia sebab dia memang disukai rakyat, senang didekati lagi,” ujar Baon.

Dalam majlis yang sama, Adenan mengumumkan peruntukan sebanyak RM500,000 untuk Kampung Bijuray, Mongag.

 

-AAS

Tinggalkan komen anda