Skip to main content
Berita TempatanSabah

Peserta 169kg Berjaya Tamatkan Larian Berhalangan

By 11 April 2016Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

 Oleh:? Zuraidah Ahmad & Jeffren Malaning (Sabah)

PAPAR, 11 Apr (Malaysiaktif) –? Semangat dan sokongan moral rakan-rakan sepasukan menjadi motivasi kepada peserta terakhir seberat 169 kilogram, Mohammad Mahathir Abd Halif, 34, untuk menamatkan Sungkadon 6KM Obstacle Sprint Run di sini semalam.

Menurut Mahathir yang merupakan anggota Jabatan Penerangan Sabah, dia nyaris berputus asa berikutan kekejangan otot di bahagian kaki ketika berada di halangan terakhir, dalam parit.

“Tetapi, dorongan yang kuat daripada rakan sepasukan membuatkan saya terus bertahan menyelesaikan cabaran terakhir itu.

“Paling mengharukan, mereka menunggu saya tiba di tepi pagar, padahal mereka sepatutnya sudah boleh menghabiskan larian awal-awal lagi.

“Kebanyakan mereka berbangsa Cina, saya baru sahaja kenal. Tapi mereka sangat mengambil berat terhadap saya seolah-olah mereka keluarga saya, terima kasih banyak,” katanya dengan nada terharu dan bergenang air mata.

Sementara itu, penganjur, Steve Johny Mositun berkata pihaknya membawa konsep sukan berhalangan tersebut ke Sabah buat julung kali kerana populariti sukan itu semakin meningkat di Asia serta Semenanjung Malaysia.

Selain melahirkan atlet baharu, Steve percaya sukan itu berupaya mengeratkan lagi perpaduan serta menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat.

Larian dengan 15 halangan sejauh 6km itu telah disertai lebih 450 peserta.

Larian tersebut telah dirasmikan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Salleh Said Keruak.

Guianuh Salagan, 49, dari Kiulu dan peserta wanita, Kona Liaw, 45, dari Pitas masing-masing berjaya menjadi juara dan membawa tunai RM500.

SF

Tinggalkan komen anda