Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Pidato Piala Orang Muda Cungkil Bakat Terpendam

By 21 April 2016Tiada komen2 minit bacaan

Oleh Siti Norzila Dolah (Taiping)

TAIPING, 21 Apr (Malaysiaaktif) – Pelajar Sekolah Menengah Sains Raja Tun Azlan Shah (SERATAS), Muhammad Faris Fikri Norman Putera Azman, 16, dinobatkan sebagai johan Pertandingan Pidato Piala Orang Muda, di sini pagi tadi.

Tempat kedua disandang oleh Nur Farisyah Aqilla Mohd Ramdha, 17, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Doktor Burhanuddin 2, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Muhammad Afiq Farhan, 17, dari SMK Doktor Burhanuddin.

Pertandingan pidato anjuran Jabatan Penerangan (JAPen) bersama Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Daerah Larut, Matang dan Selama yang pertama kali diadakan ini mendapat sambutan yang mengalakkan daripada pelajar dan guru-guru.

Bertempat di Wisma Persekutuan Taiping, seramai sembilan peserta daripada lapan buah sekolah berentap untuk gelaran juara.

pelajar2

 

Pertandingan ini bertujuan untuk melahirkan belia terutamanya pelajar sekolah untuk petah berpidato dan berani ke hadapan bagi mewakili belia dalam mencapai dasar-dasar kerajaan di samping memupuk minat berpidato.

Menurut Pegawai JASA Daerah Larut, Matang dan Selama, Kamaruddin Abu Bakar, pertandingan ini membolehkan pelajar untuk menunjukkan bakat yang terpendam.

“Pertandingan ini memberi peluang kepada pelajar untuk menonjolkan bakat masing-masing. Selain itu, selaku bakal pemimpin negara di masa akan datang, para pelajar juga dapat membiasakan diri untuk bercakap di hadapan khalayak ramai.

Johan, Muhammad Faris turut bersetuju dengan kenyataan Kamaruddin.

“Pertandingan pidato ini memberi peluang kepada pelajar-pelajar untuk berucap dan mencungkil bakat tersendiri. Semangat dan dorongan daripada guru-guru menambahkan lagi minat saya untuk menyertai pertandingan tersebut,” kata Muhammad Faris.

Johan membawa pulang hadiah wang tunai RM100, piala pusingan dan hamper makanan serta sijil penyertaan.

Naib johan menerima wang tunai RM70 (piala pusingan dan hamper makanan serta sijil penyertaan) manakala tempat ketiga menerima wang tunai RM50 (piala pusingan dan hamper makanan serta sijil penyertaan). Pemenang hadiah sagu hati pula menerima hamper makanan dan sijil penyertaan.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda