Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

PM Kepada Rakyat Sarawak: Jangan Pertaruh Masa Depan

By 29 April 2016Tiada komen1 minit bacaan

 

Oleh: Mohd Borhan Ahmad Ulis (Sarawak) / Foto: Shaiful Rahman Sabri

KUCHING, 29 Apr (Malaysiaaktif) — Rakyat Sarawak dinasihati agar tidak mempertaruhkan masa hadapan dengan membuat pilihan yang salah menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11 pada 7 Mei ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak berkata demikian pada Majlis PM Bersama Jentera PRN-11 N.6 Tupong malam tadi.

Najib melahirkan rasa kagum dengan semangat jentera Parti Pesaka Bumiputra Bersatu (PBB) N.6 Tupong yang berusaha gigih dalam memastikan kemenangan berpihak kepada calon Barisan Nasional (BN) N.6 Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada penyandang kerusi N.6 Tupong sebelum ini iaitu Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri, Datuk Daud Abdul Rahman atas jasanya selama ini banyak membawa pembangunan di kawasan tersebut.

“Oleh itu, adalah wajar kita hadiahkan kemenangan kepada beliau atas khidmat kepada masyarakat di kawasan ini,” tambah Najib.

Terlebih dahulu, Najib dan Fazzrudin menunaikan solat Isyak berjemaah di Masjid At-Taqwa.

Sementara itu, Fazzrudin pula berkata, kawasan N.6 Tupong secara tradisinya ialah kubu kuat BN sejak lima penggal lalu.

Beliau berikrar akan berusaha memastikan N.6 Tupong sekali lagi akan menjadi kubu kuat BN untuk tempoh lima tahun lagi.

Kawasan N.6 Tupong menyaksikan pertentangan di antara Fazzrudin dengan Nurhanim Hanna Mokhsen (PKR).

 

-SF/AAS

Tinggalkan komen anda