Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHomeViral

Salleh Keruak Yakin Rakyat Sarawak Bersama BN

By 25 April 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Diyana Zamri (Putrajaya)

KUCHING, 25 Apr (Malaysiaaktif) – “Saya yakin sungguh rakyat Sarawak ini, sama ada isu tempatan atau isu negara, mereka memang bersama Barisan Nasional (BN). Kerana mereka melihat hanya BN sahaja yang mampu untuk memberi khidmat yang terbaik untuk negeri Sarawak.”

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak berkata demikian ketika sidang media di Pusat Media Pilihan Raya Umum Negeri Sarawak Ke-11 bertempat di Auditorium Kecil, Radio Televisyen Malaysia (RTM) Kuching, petang tadi.

Menurutnya, rakyat Sarawak boleh melihat sendiri bagaimana parti-parti lawan kini tidak bersatu dan sekiranya parti lawan memimpin, ini boleh membawa kepada pemerintahan yang tidak stabil.

“Parti-parti lawan kita bersengketa antara satu sama lain dan jika ini berlaku apa yang nanti kita hadapi ialah sebuah pemerintahan yang dipimpin oleh mereka yang mempunyai kepentingan masing-masing dan akhirnya tidak menentukan kestabilan keamanan yang diperlukan,” kata Salleh.

Tambahnya, rakyat Sarawak boleh menilai sendiri bagaimana di bawah kepimpinan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem, Sarawak yang inginkan perubahan dan kemajuan, kini sedang membangun dan pendekatan yang digunakan selari dengan kehendak rakyat.

“BN di Sarawak ini yang dipimpin oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem telah membuktikan bukan saja ia sebenarnya berkata mahu perubahan, beliau telah melakukan perubahan, mempunyai pendekatan-pendekatan yang selari dengan kehendak rakyat.”

Salleh turut berkata, rakyat semestinya menginginkan sebuah parti pemerintah yang mampu menjalinkan kerjasama baik di antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri.

“Kerana untuk kita maju ke hadapan, penting kerajaan pusat dan kerajaan negeri boleh bekerjasama sebagai menunjukkan komitmen kita memberi sokongan padu kepada kerajaan negeri sarawak ini,” ujar Salleh.

Menurutnya lagi, dasar kerajaan pusat atau pun kerajaan negeri untuk membawa pembangunan di Malaysia dan di negeri Sarawak, membolehkan lebih banyak pewujudan peluang pekerjaan dan peluang ekonomi untuk anak-anak muda.

“Kerana yang paling penting dalam soal pembangunan ini ialah kita ingin melihat sebuah parti pemerintah yang boleh menyediakan peluang pekerjaan untuk anak-anaknya, peluang pekerjaan untuk anak-anak buahnya dan juga peluang ekonomi untuk mereka. Supaya mereka boleh terlibat dalam proses pembangunan negara ini dan juga negeri Sarawak,’ kata Salleh.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda