Oleh Zaharah Ismail dan Azri Zainal Abidin (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 11 Mei (Malaysiaaktif) – Seramai 150 gelandangan sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman menerima bungkusan makanan yang diagihkan kepada mereka semalam.
Projek perintis anjuran Hotel Kuala Lumpur International (KLIH) ini merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat syarikat (CSR) tersebut tahun ini.
Menurut Eksekutif Jualan dan Pemasaran Hotel, Siti Aishah Yahaya, program ini ditaja sepenuhnya oleh KLIH dan tertumpu kepada pengagihan bantuan makanan kepada golongan gelandangan.
Inisiatif CSR hotel tersebut kali ini, iaitu sekitar CIMB Jalan Tunku Abdul Rahman dipilih kerana ramai gelandangan menjadikan lorong-lorong belakang di kawasan ini sebagai tempat berteduh.
“Objektif program adalah berdasarkan keprihatinan kami terhadap golongan kurang bernasib baik serta diharapkan kami dapat memberi sokongan moral kami terhadap keperitan yang terpaksa mereka lalui setiap hari”, ujarnya Siti Aishah.
Tambah beliau, pek juadah makan malam disediakan oleh chef hotel dan diedarkan oleh kakitangan KLIH. Pihak hotel sendiri memastikan pengurusan dari segi masakan, pembungkusan, penghantaran dan pengedaran mengikut standard kebersihan. Menu makan malam yang disediakan ini adalah menu sama yang dimasak untuk kakitangan KLIH di hotel.
Sempena program tersebut, pihak KLIH turut menjemut artis peserta Idola Kecil 5, Wan Azlyn untuk memeriahkan suasana.