Skip to main content
Berita TempatanKuala LumpurWilayah Persekutuan

Menara KL DAN Muzium Telekom Beri Impak Lawatan Kerja KKMM

By 25 Mei 2016Tiada komen2 minit bacaan

Oleh Fauziah Hussain

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Malaysiaaktif) – “Menara KL, Menara telekomunikasi ketujuh tertinggi di dunia dan tertinggi di Asia Tenggara dibina untuk meningkatkan kualiti telekomunikasi dan penghantaran penyiaran”.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Meor Shahril Anuar Ahmad Rathuan ketika menyambut kehadiran lebih 50 orang pegawai dan staf dari Bahagian Perancangan Strategik Kementerian Komunikasi dan Multimedia (BPS KKMM) sempena lawatan kerja di Menara KL dan Muzeum Telekom diketuai Setiausaha Bahagian, Dr Ismail Jamaluddin semalam.

“Menara KL akan mencapai usia 20 tahun menjelang 1 Oktober tahun ini”, ujarnya.

Pelbagai produk dan perkhidmatan ditawarkan di Menara KL seperti Pelantar Pemandangan di ketinggian 276 meter, Restoran Berputar Atmosphere 360 darjah di ketinggian 282 meter, Mega View Banquet Hall di ketinggian 288 meter yang boleh menampung keperluan mesyuarat dan majlis keraian dan Skybox yang terletak di Skydeck di ketinggian 300 meter, produk terkini yang diperkenalkan pada 20 Mei lalu.

Bersesuaian tema “Jewel in the Sky”, Menara KL adalah pertama di dunia dipasang dengan cahaya dan bunyi menggunakan teknologi lampu LED. Keistimewaan Menara KL termasuk satu-satunya organisasi menganjur KL Tower International Jump Malaysia yang akan memasuki tahun ke 15. Ini termasuk KL Tower International Towerthon Challenge 2016, acara larian melalui 2058 anak tangga dengan ketinggian 288 meter.

Lawatan di ketinggian TH06 Menara KL turut diadakan.”Di sini terletaknya alat pemancar RTM yang menyalurkan siaran radio (7 saluran radio RTM dan 1 saluran BERNAMA Radio) dan dua siaran TV (TV1 dan TV2). Unit Operasi di sini bertanggungjawab dalam aspek pengoperasian dan penyelenggaraan alat pemancar ini”, kata Timbalan Pengarah (Perkhidmatan), RTM Kajang, Zulkifli Ab. Rahim.

Pengurus Jualan TM, Siti Hairolmiza Zainal ketika menerima kunjungan pihak KKMM berkata “Muzium Telekom menerima purata 1800 pengunjung dalam dan luar negara negara setiap bulan. Ia menjadi fokus pelajar sekolah di bawah Jawatankuasa Sejarah dan Kembara Sains untuk meneroka evolusi telekomunikasi negara”.

“Di samping program outreach kepada pelajar dan pengunjung berkumpulan, pakej penginapan termasuk pengalaman ‘Jungle trekking’ di Bukit Nanas disediakan. Kerjaya penerbangan juga diperkenalkan melalui usahama Infotech Quest Sdn Bhd”, katanya lagi.

“Lawatan ke Menara KL dan Muzium Telekom sangat menarik, dan beri kesan amat bermakna dalam meningkatkan pengetahuan dan pengalaman baharu terutama bagi yang menjejak kaki kali pertama di sini”, kata Dr Ismail Jamaluddin.

 

-DK

Tinggalkan komen anda