Oleh: Diyana Zamri / Foto: Hafiz Itam
KUCHING, 6 Mei (Malaysiaaktif) – “Sebenarnya arwah (Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon) memang takut naik helikopter, arwah takut sungai. Saya tahu arwah ada fobia.”
Menteri Pembangunan Wanita, Kebajikan dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata demikian ketika sidang media selepas menghantar jenazah Noriah di Pangkalan Tentera Udara Di Raja Malaysia (TUDM) Kuching, sebentar tadi.
“Semasa saya membawa dia ke kawasan saya buat pertama kali pada 2011, saya tidak tahu dia sangat takut dengan air. Cross River Pusak. Dia berpegang teguh pada tangan saya, siap menggigil dan menangis. Rupanya, dia ada fobia dengan air dan perahu,” jelas Rohani yang juga merupakan Ahli Parlimen Batang Lupar, Sarawak.
Mayat arwah Noriah ditemui kira-kira pukul 12.00 tengah hari tadi di tebing Sungai Batang Lupar ketika operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) dijalankan.
Menurut Rohani, ini merupakan satu tragedi yang sangat menyayat hati kerana berlaku kepada orang yang dianggap sebagai adiknya sendiri.
“Kami sangat akrab. Saya memang kehilangan seorang rakan seperjuangan, seorang adik, seorang ahli politik, seorang yang sangat rapat dengan saya. Sampai digelar kembar di Parlimen kerana asyik bersama sahaja,” ujar Rohani.
Beliau turut tidak dapat menahan sebak apabila menyambut jenazah arwah Noriah petang tadi.
“Saya tidak dapat tahan sebak. Saya memikirkan kenapalah terjadi macam ini. Beliau seorang yang begitu baik, berdedikasi serta sanggup turun padang bersama untuk menyumbang kepada Pilihan Raya Umum Negeri Sarawak (PRN) kali ini.
“Saya memang berdoa dan berharap helikopter yang membawa beliau dapat mendarat sementara menunggu hari siang. Itulah sebenarnya harapan saya dan mendoakan penemuan pagi tadi dalam keadaan selamat. Alangkah sedihnya apabila menerima berita bahawa dialah yang pertama dijumpai,” kata Rohani.
“Saya terbayang anak-anak arwah sebab mereka juga kehilangan seorang ibu tempat mereka bergantung. Seorang ibu yang beri segala perlindungan. Lebih-lebih lagi saya fikir beberapa hari lagi ialah Hari Ibu.
Pemergian Noriah ditangisi lima anaknya, tiga lelaki dan dua orang perempuan. Hanya dua anak lelakinya yang tiba di Kuching untuk membuat pengecaman mayat.
Tambah Rohani, kaunselor turut disediakan untuk anak-anak arwah Noriah bagi membantu mereka meluahkan perasaan yang terpendam.
“Kaunselor boleh mendalami perasaan mereka. Namun, anak-anak arwah tidak mahu kaunselor turut serta dalam penerbangan pulang ke Subang. Kami hormati keputusan mereka. Bila mereka dah bersedia, saya ada kaunselor [untuk membantu],” kata ujar Rohani lagi.
-SF