
Ā Oleh Edawati Sulaiman
KUALA LUMPUR, 20 Jun (Malaysiaaktif) ā Sebanyak 100 batang lemang, ketupat dan rendang diedarkan kepada warga di Setiawangsa dalam Program ‘Sebarkan Kasih Seindah Syawal III’ semalam bagi mengembalikan semula nostalgia kemeriahan menyambut Hari Raya khususnya kepada warga kota yang sentiasa sibuk dengan tugas masing-masing.
Ketua Puteri UMNO Parlimen Setiawangsa, Noraini Zulkafli berkata “Agihan ketupat, lemang dan rendang ini merupakan aktiviti tahunan kali ketiga anjuran Puteri dan Pemuda UMNO Setiawangsa”.
Menurut beliau, “Mengikut kebiasaan tahun sebelum ini, kami adakan program sebegini menjelang Hari Raya. Pada tahun ini kami adakan lebih awal sedikit supaya kemeriahan menyambut hari raya ini dapat dirasai oleh generasi muda di kota”.
Tambahnya, “Tempat juga berbeza tahun ini iaitu di Jalan Setiawangsa 9, Mini Stadium Setiawangsa di mana lebih ramai generasi muda kota yang berada disini”, ujarnya lagi.
Ketua Pemuda UMNO Setiawangsa, Ahmad Fauzee Ahmad Sahar pula berkata, “Program ini dapat memberikan kesedaran kepada semua ahli untuk menyumbang dan beramal kepada masyarakat bukan sahaja dalam bentuk wang ringgit tetapi daripada keikhlasan mereka dalam menyediakan juadah sebagai edaran sempena bulan yang mulia ini”.
“Walaupun mereka berpuasa, namun ia tidak membataskan mereka untuk sama-sama bergotong-royong sejak dari pukul 10.00 pagi lagi. Segala persiapan kami buat disini sehinggalah selesai agihan”, tambahnya lagi.
Pada majlis ini, Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa, Tan Sri Zulhasnan Rafique turut meluangkan masa untuk sama-sama membantu membuat agihan kepada masyarakat sekitar Setiawangsa.
DK