Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahEkonomiHomeSelangor

App Homestay Elak Keliru Antara Rumah Sewa dan Inap Desa

By 16 Jun 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Dila Khamde / Foto MOTAC & Dila Khamde

SUNGAI BESAR, 16 Jun (Malaysiaaktif) – Bagi memberi keyakinan kepada pelancong dan menjaga kepentingan pelanggan, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (MOTAC) semalam memperkenalkan Aplikasi Homestay untuk kegunaan ramai.

Dalam Majlis Pelancaran Homestay Apps di Batu 23, Sungai Nibong di sini petang semalam, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz berkata aplikasi tersebut bertujuan mengalakkan pelancong memilih inap desa yang diiktiraf  MOTAC dan mengelak orang ramai daripada ditipu oleh pihak yang tidak berdaftar dengan kementerian.

“Dengan adanya aplikasi ini, pengguna dapat mengelakkan kekeliruan dengan membezakan antara rumah untuk disewa atau homestay”, ujar beliau.

Tambahnya lagi, “Homestay perlu ada aktiviti. Homestay yang tidak tersenarai dalam aplikasi ini, bermakna ia bukan didaftar dan diiktiraf oleh pihak kementerian dan jika mereka pergi adalah atas risiko sendiri.”

Selain itu, menurut beliau, applikasi homestay ini adalah bagi mencapai matlamat untuk menyumbang kepada ekonomi pengusaha homestay sebenar di seluruh negara.

 

20160615_174349

 

“Kami berharap dapat membantu pengusaha-pengusaha homestay dan pada masa yang sama dapat menjaga mutu khidmat yang diberikan oleh homestay.”

Aplikasi Homestay berpaut kepada sebuah laman sesawang yang menyediakan maklumat lengkap tentang setiap homestay berdaftar dengan MOTAC, termasuk maklumat pakej yang disediakan beserta kalendar aktiviti dan peta lokasi.

Pelancong diberi peluang untuk membuat pilihan mengikut kriteria samada dari segi aktiviti, harga, lokasi dan sebagainya.

 

20160615_180204

 

Turut disediakan artikel, blog, pengalaman pelancong di homestay yang dikongsi.

Aplikasi android dan iOS juga disediakan bagi memudahkan pelancong untuk mencari maklumat lanjut tentang homestay.

Program homestay bermula sejak 1995 dan tahun ini merupakan tahun ke-21 dengan jumlah 186 gugusan homestay berdaftar di seluruh negara teridiri daripada 3,706 pengusaha yang menawarkan sebanyak 5,219 bilik.

Bagi tempoh Januari hingga Mac 2016, jumlah pendapatan homestay seluruh negara adalah sebanyak RM6,819,217 manakala jumlah keseluruhan ketibaan pelancong ke homestay adalah sebanyak 89,544 orang.

Program ini telah berjaya menarik minat pelancong asing dari Singapura, Jepun, Eropah, Cina, Korea, Australia, Indonesia, Thailand dan Amerika Syarikat.

Selangor berada di nombor ke-lima terbaik bagi homestay yang paling kerap dikunjungi pelancong asing, di mana 43 peratus adalah dari Jepun.

Aplikasi homestay ini boleh dimuat turun di laman web MOTAC.

 

-AAS

Tinggalkan komen anda