Skip to main content
Berita TempatanHomeSelangor

‘Guru Duka Lara’ Perlu Masa untuk Selesai – Mahdzir

By 18 Jun 2016Tiada komen2 minit bacaan

 Oleh Syed Fauzi Syd Mostapa / Foto: Mohd Syah Rizal Ahmad

SUNGAI BESAR, 17 Jun (Malaysiaaktif) – Proses untuk mengatasi isu perpindahan guru yang dikenali sebagai isu guru duka lara memerlukan masa untuk diselesaikan kerana mengambil kira pelbagai faktor yang melibatkan kemanusiaan.

Demikian menurut Menteri Pendidikan Malaysia, Datuk Seri Mahdzir Khalid ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan Sungai  Limau di sini tengah hari tadi.

“Ramai lagi guru yang tak dapat bertukar mengeluh kepada saya menerusi Facebook, Twitter, Whatsapp dan surat. Banyak aspek yang diambil kira termasuklah dari segi masa, dan penempatan baharu.

“Pada 1 Jun lalu, lebih kurang 3000 pertukaran telah dilakukan. Dalam tempoh setahun kita akan buat tiga kali iaitu pada April, Jun dan Disember,” jelasnya.

Sementara itu, Mahdzir yang dalam rangka kerja melawat sekolah di sekitar Sungai Besar dan Sabak Bernam telah bersetuju untuk membelanjakan RM2 juta untuk merobohkan bangunan lama enam bilik darjah yang usang di SK Simpang 5 dengan bangunan baharu Industrial Building System (IBS).

Bukan itu sahaja bahkan, beliau turut bersetuju untuk mendirikan dewan di SK Sungai  Limau dengan kos mencecah RM 300 ribu dan mempertimbangkan hasrat untuk membina surau.

Menerusi tinjauannya, kebanyakan sekolah dari segi susun atur kerja sangat baik, sistematik manakala proses pengajaran dan pembelajaran pula sangat tersusun. Susunan jadual waktu, penggunaan makmal komputer serta pendidikan pra sekolah yang ditempatkan di bangunan itu sendiri juga berada dalam keadaan baik.

Mengulas tentang isu mercun pada bulan Ramadan ini, Mahadzir turut mengingatkan ibu bapa supaya memastikan anak-anak tidak sesekali terlibat.

“Kalau boleh ibu bapa, masyarakat dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)  mohon kawal anak-anak daripada bermain mercun. Semalam saya tengok satu  gambar yang disiarkan oleh media, pelajar di Terengganu parah luka kerana mercun. Saya harap kita elakkan benda yang berbahaya seperti itu,” ujarnya lagi.

Tinggalkan komen anda