Oleh Aimi Huwaina / Foto: Muhairul Azman Supian (Putrajaya)
KUALA KANGSAR, 12 Jun (Malaysiaaktif) – “Sebenarnya, hendak guna jet peribadi atau jet kerajaan, itu adalah privilege (keistimewaan) kepada seseorang Ketua Negara ataupun Perdana Menteri.”
Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata isu ini adalah polemik yang tidak perlu dipanjangkan kerana apa yang penting adalah prinsip kebertanggungjawapan atas apa yang dilakukan.
“Orang tak fikirkan soal berapa kos, sebab kos itu semuanya adalah soal bajet, soal belanjawan. Kerajaan lebih tahu apa yang kerajaan mampu, apa yang kerajaan tidak mampu. Kerajaan berbelanja dalam bajet. Bajet itu telah diluluskan oleh parlimen dan setiap kali kerajaan nak membelanjakan, ada prosedur kewangan.
“Dalam sistem kerajaan kita, apa-apa juga perbelanjaan akan diaudit oleh Ketua Audit Negara, dan akan dibentang. Akhirnya, tidak mungkin boleh berlaku sesuatu perbelanjaan yang orang kata bersifat penyelewengan dan penyalahgunaan tanpa menjawab kepada proses-proses tertentu,” jelas Annuar yang juga merupakan Ahli Parlimen Ketereh.
Tambahnya lagi, penggunaan sistem British di negara kita adalah berbeza daripada negara monarki mutlak dan republik yang sesetengah presidennya mempunyai kuasa yang begitu besar.
“Pada saya, selagi mana pimpinan negara, Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong, First Lady dan sebagainya, mereka ada hak. Tak akan saya nak tengok Yang di-Pertuan Agong naik penerbangan berjadual untuk pergi ke acara-acara? Adakah kita nak tengok Perdana Menteri Malaysia nak melawat satu negara, datang dengan penerbangan berjadual, kemudian penerbangan tergendala, ada penerbangan yang dibatalkan… Adakah itu imej yang kita mahu?
“Saya percaya parti mana pun memerintah negara, dia akan gunakan protokol yang sama. Sebab itu merupakan protokol standard antarabangsa… Saya tidak nampak cara kepimpinan negara kita mempamerkan sesuatu yang luar biasa,” ujar Annuar lagi.
Annuar berkata demikian semasa lawatan ke Pusat Media KKMM Pilihan Raya Kecil P.067 Kuala Kangsar semalam.