
Oleh: Md Sazali Ab Hamid (Pengkalan Hulu) / Foto: Diyana Zamri (Putrajaya)
MANONG, 11 Jun (Malaysiaaktif) – Mencatat sejarah baru, buat pertama kalinya manifesto pilihan raya ditunaikan sebelum calon memenangi kerusi yang ditandingi.
Naib Presiden Pertubuhan Melayu Kebangsaan Bersatu (UMNO), Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata demikian di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Mesjid, di sini, petang tadi.
“Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) telah bersetuju meluluskan peruntukan untuk pembinaan jambatan Manong dan menaik taraf Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) menjadi universiti penuh,” kata Hishammuddin.
Sebelum ini, calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid telah menyatakan lima agendanya untuk memperjuangkan harapan anak Kuala Kangsar.
Dengan penaiktarafan KUISAS menjadi Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) dan jambatan Manong yang bakal dibina, dua daripada lima agenda Mastura telah terlaksana.
Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata, PRK Kuala Kangsar ini memberi kesan peribadi kepadanya kerana hubungan akrab dengan mantan Ahli Parlimen Kuala Kangsar Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.
“Allahyarham dah macam saudara kandung saya dan anak-anak beliau juga seperti anak-anak saya,” katanya ketika berucap di Pusat Daerah Mengundi Kampung Mesjid, di sini, petang tadi.

Datuk Seri Hishammuddin ditemani empat orang anak Datin Mastura Mohd Yazid dilihat membakar ikan bersama pemilik gerai SS Brader Ikan Bakor, Samsul Syed Omar, 33 di Bazar Ramadan Bukit Chandan.
Sementara itu, Hishammuddin turut dilihat melawat Bazar Ramadan di Bukit Chandan sambil ditemani Wan Emir Astar, 26, Wan Imar Izzat, 25, Wan Iskandar, 20, dan Wan Muhammad Amar, 19, yang mewakili ibu mereka, Mastura.
-DZ/AH