Skip to main content
Berita TempatanSabah

Kegiatan Amal BAKISA Dihargai – Musa

By 20 Jun 2016Tiada komen2 minit bacaan

Β Oleh: Yahya Abdul Rajak & Johny G.Kimlon (Sabah)

KOTA KINABALU, 20 Jun (Malaysiaktif) –? Kerajaan Negeri Sabah amat menghargai sumbangan dan komitmen seluruh ahli Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat Sabah (BAKISA) dalam usaha membantu kerajaan melalui kegiatan amal dan kebajikan selama ini.

Malah, penubuhan BAKISA sejak 1994 banyak memberi ruang kepada isteri-isteri wakil rakyat Sabah untuk turut menyumbang kepada pewujudan rangkaian kerja dan khidmat kepada masyarakat selain menjalin hubungan silaturrahim dan kerjasama sesama ahli.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman berkata kerajaan sentiasa menyokong apa-apa juga aktiviti yang dirancang sebagai galakan kepada BAKISA untuk lebih aktif turun padang serta mendekati rakyat menerusi pelaksanaan program mensejahterakan rakyat.

“Sumbangan BAKISA dalam pelaksanaan program berbentuk kebajikan, kemasyarakatan dan sosial sememangnya memberi impak positif kepada kerajaan dalam usaha meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat terutamanya di kawasan luar bandar.

“Kejayaan dan sumbangan BAKISA dalam kemajuan bidang sukan juga amat cemerlang dan tahniah kerana terus mengharumkan nama Sabah terutama dalam arena Sukan Badminton yang sering menjuarai acara berkenaan secara berturut-turut,” katanya semasa merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan BAKISA kali ke-22 di Dewan Bankuasi, Dewan Undangan Negeri, pada Khamis.

Ujarnya, kejayaan berkenaan sememangnya didorong oleh para suami yang sentiasa memberi sokongan moral kepada isteri masing-masing untuk terus bersama menabur bakti kepada rakyat.

Dalam ucapannya, Musa turut menekankan peranan suami dan isteri sebagai pemimpin sebuah masyarakat harus sentiasa saling memahami, berkerjasama dan saling membantu agar keharmonian dapat dihasilkan dan menjadi contoh yang baik kepada rakyat.

Hadir sama Yang Di Pertuan BAKISA, Datin Seri Panglima Datuk Hajah Faridah Haji Tussin dan Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Hj Syed Abas Syed Ali

SF

 

Tinggalkan komen anda