Skip to main content
Berita Tempatan

Kerajaan Serius Bendung Kegiatan ‘Van Putih’ – Masidi

By 20 Jun 2016Tiada komen1 minit bacaan

 Oleh: Asmidar Zainol & Ahmad Marif Hj.Awang Damit (Sabah)

KOTA KINABALU, 20 Jun (Malaysiaktif) –? Kerajaan Negeri Sabah dengan kerjasama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) Sabah serta pihak berkuasa serius membendung kegiatan Van Putih bagi menjamin peningkatan sektor pelancongan di negeri ini pada masa depan.

Menurut Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, kempen yang dilancarkan pada tahun lepas terhadap penggunaan kenderaan pelancongan yang tidak dilesenkan atau lebih dikenali sebagai Kempen Anti Van Putih merupakan satu kempen yang bersifat proaktif dan berjaya.

“Kempen ini menunjukkan kerajaan serius dalam menangani isu-isu penguatkuasaan berkaitan pelancongan di Sabah. Menang atau kalah merupakan isu kedua kerana usaha untuk mengheret pesalah ke mahkamah merupakan satu kejayaan.

“Kita juga telah berjaya mengenakan penalti maksimum bagi kesalahan di bawah Akta Perlesenan Kenderaan Pelancongan (APKP) 1999 dan Akta Industri Pelancongan (AIP) 1992 yang merupakan kes pertama seumpamanya di Malaysia,” katanya ketika merasmikan seminar Isu-Isu Penguatkuasaan Industri Pelancongan Sabah 2016 pada Khamis.

Jelas Masidi, isu pengendalian kenderaan pelancongan tidak mempunyai permit yang sah akan menjejaskan industri pelancongan terutamanya jika berlaku kemalangan.

Tambahnya, berdasarkan kepada statistik kes aduan melibatkan syarikat Perniagaan Pengendalian Pelancongan dan Perniagaan Agensi Pengembaraan (TOBTAB) yang melibatkan aduan daripada pelancong asing dan tempatan, sebanyak 1,276 kes diterima dari 2011 hingga Februari 2016.

Katanya, penguatkuasaan perlesenan pelancongan akan terus diperketat dari semasa ke semasa dalam usaha mengukuhkan industri pelancongan tempatan.

SF

Tinggalkan komen anda