Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahEkonomiHomeSelangorViral

Kuih Bangkit Sg Besar Benar-Benar ‘Bangkit’

By 9 Jun 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Dila Khamde

SUNGAI BESAR, 9 Jun (Malaysiaaktif) – “Sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) di sini, sambutan kuih tradisi bangkit keluarga saya meningkat tiga kali ganda berbanding hari biasa.”

Pengusaha kecil-kecilan, Nordalina Ahmad Salihin,38 teruja memberitahu wartawan Malaysiaaktif berkenaan hasil jualan biskut tradisionalnya, kuih bangkit pagi tadi.

Nordalina kini mempunyai seramai tujuh orang pekerja yang terdiri daripada ahli keluarga dan jiran yang menjalankan operasi  pada setiap hari bermula dari 9.00 pagi hingga 4.00 petang.

 

76bda601-8c97-4e25-89d6-d7b9e2e0347c

 

“Penghasilan produk terpaksa dijalankan siang dan malam demi memenuhi permintaan pelanggan yang bertambah sepanjang PRK ini.

“Saya menggunakan masa  PRK ini sebagai peluang untuk mempromosikan produk saya kepada pihak luar. Sebagai salah satu strategi promosi, setiap malam saya akan bawa produk yang berlainan untuk dimakan,” ujarnya.

Nordalina memulakan perniagaannya secara manual dengan menguli menggunakan tangan dan membakar dengan ketuhar kecil yang hanya menggunakan gas.

Selepas tiga tahun, dia telah dikunjungi oleh Jabatan Pertanian dan diberi sebuah ketuhar dan pengadun bagi membolehkan pengeluaran produk dalam kuantiti yang lebih banyak.

“Kalau dulu secara manual kita boleh adun sebanyak 2kg sehari, sekarang boleh mencecah sehingga 40kg sehari,” tambahnya.

Antara produk tradisional yang dihasilkan dan dipasarkan ke seluruh negara ialah kuih bangkit kelapa dan kuih bangkit kacang yang dibuat daripada tepung ubi, kerisik dan santan.

“Kuih bangkit kelapa dijual pada harga borong RM12 hingga RM13 satu balang. Kini sudah masuk tahun ketiga kami pasarkan ke Wilayah Persekutuan Labuan, cuma kuantiti tak banyak disebabkan kos tinggi,” kata Dalina lagi.

Nordalina juga sering membuat inovasi dengan mereka resipi baharu dan mendapatkan maklum balas daripada kawan-kawan sebelum dijual di pasaran.

“Sebagai contoh, bangkit cheese yang berbeza kerana menggunakan mozarella cheese berbanding cream cheese. Selain itu, produk lain hasil inovasi saya ialah cikedis laksa yang dijual pada harga RM18 sekilo.

“Walaupun saya membuat perniagaan di bawah kolong, tetapi saya telah pun mendaftar dan mempunyai label di bawah Hak Akta Rekacipta dan Berdaftar,” ujar Nordalina.

Nordalina turut menyertai pelbagai kursus untuk menambahkan pengetahuannya dalam bidang perniagaan menerusi kursus  enam sesi setahun oleh Jabatan Pertanian, Pejabat Daerah, IADA Barat Laut Selangor.

“Jabatan Pertanian mengajar cara-cara untuk mengeluarkan sesuatu produk, manakala IADA Barat Laut mengajar teknik  pemasaran produk melalui Internet dan sebagainya. Walaupun tiada bayaran dikenakan, tetapi pihak jabatan akan sentiasa ke lapangan dan melihat laporan bulanan secara dalam talian,” tambahnya.

 

-SF/AAS

Tinggalkan komen anda