Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomePerakViral

Undi Majoriti 6,969: Mastura Raih Kepercayaan Pengundi Kuale

By 18 Jun 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 

 Oleh: Diyana Zamri / Foto: Nazri Rapaai (Putrajaya)

KUALA KANGSAR, 18 Jun (Malaysiaaktif) – Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar yang menyaksikan pertandingan empat penjuru antara parti Barisan Nasional (BN), Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Parti Amanah Negara (Amanah), dan seorang calon Bebas akhirnya dimenangi oleh calon BN, Datin Mastura Mohd Yazid.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya, PRK Parlimen Kuala Kangsar, Mior Muhammad Jamil Mior Zakaria mengumumkan kemenangan Mastura kira-kira pukul 9.55 malam di Dewan Jubli Perak. Mastura berjaya meraih kepercayaan pengundi Kuala Kangsar apabila memperoleh undi sebanyak 12,653 dengan majoriti sebanyak 6,969 undi.

PAS yang diwakili oleh Dr. Najihatussalehah Ahmad di tempat kedua dengan 5,684 undi manakala calon Amanah, Dr. Ahmad Termizi Ramli dengan 4,883 undi dan calon Bebas hanya berjaya meraih 54 undi.

Mastura menyifatkan kemenangannya ini sebagai satu petanda penduduk Kuala Kangsar masih mempercayai kepimpinan kerajaan BN serta merupakan satu peluang untuk menyambung legasi arwah suaminya, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.

“Kemenangan ini adalah kemenangan rakyat Kuala Kangsar yang memilih untuk meneruskan kesinambungan khidmat bakti Barisan Nasional di Bandar DiRaja ini sejak lebih empat dekad lamanya.

“Saya ingin merakamkan penghargaan atas kepercayaan rakyat Kuala Kangsar untuk melunaskan tugas-tugas yang ditinggalkan arwah suami, Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar,” ujar Mastura ketika ditemui di rumahnya selepas pengumuman keputusan undian dibuat.

Selain meneruskan kesinambungan suaminya, kemenangan Mastura ini mengulangi sejarah pemimpin wanita di Kuala Kangsar selepas Tan Sri Rafidah Aziz menyandang kerusi itu selama tujuh penggal dari 1982 hingga 2008.

Mastura diwakili anak-anaknya, Wan Emir Astar, 26, Wan Imar Izzat, 25, Wan Iskandar, 21 dan Wan Amar, 19, ketika pengumuman keputusan diumumkan di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU), sebentar tadi.

Turut hadir di PPRU, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi, Ketua UMNO Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, Presiden Parti Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Kiong, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Chandan, Maslin Sham Razman, dan ADUN Manong, Kamil Mohd Shafie.

 

-AH

Tinggalkan komen anda