
Oleh: Azimee Abdullah (Balik Pulau)
BALIK PULAU, 10 Jun (Malaysiaaktif) – Demi menjamin kualiti bazar Ramadan, satu Ops Bazar Ramadan telah dijalankan di Bazar Ramadan Masjid Daerah Barat Daya di sini semalam oleh anggota penguatkuasa Jabatan Kesihatan Pulau Pinang.
Menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahya, operasi ini adalah bertujuan untuk terus mendidik peniaga dan pengendali makanan supaya sentiasa mengamalkan kebersihan agar makanan atau minuman yang dijual adalah selamat dan kejadian keracunan makanan dapat dielakkan.
Hilmi yang juga merupakan Ahli Parlimen Balik Pulau berkata pihak kesihatan turut menjalankan kempen perhati dan pilih sempena bulan Ramadhan.
“Setiap pengguna dan pembeli perlu perhati terlebih dahulu kebersihan gerai, kebersihan pengendali makanan dan peralatan yang digunakan adalah bersih dan sesuai,” tambah Hilmi lagi.
Sementera itu, Pegawai Kesihatan Daerah Barat Daya, Iqbal Hamzah memaklumkan bahawa setiap peniaga diperiksa dari amalan kebersihan, cara pengendalian makanan, sama ada mendapatkan suntikan dan kursus latihan pengendali makanan.
Ketika lawatan berlangsung, peniaga bazar Ramadan turut menerima apron dan topi.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Betong, Mohd Farid Saad.
– AH