Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomePerakViral

Kompleks Pendidikan Baharu Untuk Kuala Kangsar

By 15 Jun 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh Diyana Zamri (Putrajaya)

KUALA KANGSAR, 15 Jun (Malaysiaaktif) – Kementerian Pendidikan akan membina Kompleks Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Kangsar yang baharu di Bukit Chandan di sini dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kerajaan bersetuju untuk mendapatkan sebidang tanah seluas 60 ekar, berhampiran Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) bagi membina pejabat itu dengan anggaran kos RM15 juta.

“Pembinaan pejabat baharu ini bagi menggantikan pejabat lama yang terletak di Jalan Tun Abdul Razak yang dilihat perlu dinaik taraf.

“Selain membina pejabat pendidikan daerah di atas tanah seluas 60 ekar itu, kita juga merancang untuk membina sekolah baharu dan pembangunan lain yang bersesuaian,” katanya kepada pemberita ketika melawat pesara kerajaan di Kampung Ketior Luar di sini, semalam.

 

Mahdzir Khalid

 

Katanya, pembinaan pejabat baharu ini adalah bagi memenuhi hasrat Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Wan Ahmad untuk menjadikan Kuala Kangsar sebagai hab pendidikan.

Menurutnya, pembinaan PPD baharu Kuala Kangsar bagi menggantikan PPD sedia ada kerana dilihat bangunan tersebut perlu dibaikpulih.

“Kerajaan juga telah mendapatkan sebuah tapak baharu bersebelahan dengan Universiti Sultan Abdul Aziz (USAS untuk menempatkan PPD Kuala Kangsar serta perancangan lain bagi merealisasikan perancangan Kuala Kangsar sebagai sebuah hab pendidikan.

“Saya lihat transformasi pendidikan telah berlaku di mana-mana seperti di Kuala Kangsar ada Malay College Kuala Kangsar (MCKK) dan universiti.

“Transformasi pendidikan ini datang dengan sendirinya bukan kerana adanya MCKK dan universiti. Masyarakat sama ada berada (belajar) di sekolah rendah atau menengah juga boleh berjaya dalam pelajaran,” katanya.

Dalam pada itu, Mahdzir turut melakukan tinjauan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Abdul Aziz Kampung Ketior dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Manong.

Mahdzir meluluskan peruntukan sebanyak RM50,000 kepada SK Sultan Abdul Aziz  untuk membaik pulih kerosakan-kerosakan kecil di sekolah itu.

“Bagi SJKC Manong, saya minta dewan sekolah itu dirobohkan kerana keadaaan fizikalnya yang dilihat usang. Kita akan tengok berapa peruntukan yang boleh diberi bagi membina dewan terbuka baharu kerana kebiasaannya kos untuk membina sebuah dewan adalah RM200,000,” katanya.

 

-AH

Tinggalkan komen anda