Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeSelangorViral

Sg. Besar:Parti Politik Tidak Boleh Buka Barung Esok –SPR

By 17 Jun 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh: Syed Fauzi Syd Mostapa

SUNGAI BESAR, 17 Jun (Malaysiaaktif) – Tinggal 12 jam lagi sebelum tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar akan tamat, esok tibalah hari mengundi maka parti politik tidak dibenarkan membuka barung mahu pun berkempen.

Demikian kata Datuk Haji Abdul Aziz Khalidin, Ahli Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR), ketika pihaknya baru selesai menjalankan semakan peralatan mengundi seperti peti undi, dakwat pilihan raya dan sebagainya di Dewan Seri Bernam Sungai Besar pagi tadi.

Tambahnya, hanya Barung SPR sahaja dibenarkan dibuka pada esok bagi kemudahan pengundi-pengundi membuat semakan berkenaan maklumat pengundian mereka.

“Semakan ini untuk memastikan semua peralatan bagi pengundian pada esok lengkap dan berkeadaan baik. Peralatan ini telah diagihkan kepada Ketua Tempat Mengundi di 28 Pusat Mengundi.

“Pengundi turut dinasihatkan supaya keluar mengundi secara berperingkat mengikut kesesuaian masa dalam tempoh yang ditetapkan agar tidak berlaku kesesakan di Pusat Mengundi.

Selain itu, SPR meminta pengundi-pengundi supaya tidak memberikan kad pengenalan mereka kepada pihak lain selain Petugas SPR kerana kad pengenalan tersebut mungkin disalah guna sehingga menimbulkan masalah kepada pengundi.

Sementara itu Aziz turut mengingatkan para majikan supaya membenarkan pekerja mereka keluar mengundi esok untuk menunaikan hak mereka.

“Mana-mana majikan yang didapati menghalang pekerja mereka untuk keluar mengundi esok boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 25 (3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Denda tidak lebih RM5,000 atau dipenjara setahun jika disabit kesalahan.

Pada majlis itu juga, SPR menasihatkan semua pihak supaya mematuhi undang-undang serta arahan oleh SPR atau Polis DiRaja Malaysia (PDRM) untuk memastikan proses pengundian PRK Sungai Besar akan berjalan lancar.

Bagi Parlimen Sungai Besar, seramai 42,365 pengundi bakal mengundi pada esok, 18 Jun 2016 bermula pada 8.00 pagi sehingga 5.00 petang.

Pertandingan merebut kerusi Parlimen P.093 itu melibatkan tiga calon iaitu Budiman Mohd Zohdi (Barisan Nasional), Dr Abdul Rani Osman (PAS), dan Azhar Shukur (PAN).

DK

Tinggalkan komen anda