Skip to main content
Berita TempatanSabah

Wanita Tidak Perlu Bimbang, KKM Terus Mamogram-Azizah

By 23 Jun 2016Tiada komen2 minit bacaan

Oleh Zuraidah Ahmad & Johny G.Kimlon (Sabah)

BEAUFORT, 23 Jun (Malaysiaktif) –? Rakyat terutama golongan wanita tidak perlu bimbang apabila Program Subsidi Ujian Mamogram diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dijangka bermula Ogos ini.

Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun, program mamogram yang dikendalikan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di bawah kementerian itu sejak Mei 2007, telah memberi manfaat kepada lebih kurang 100 ribu wanita di negara ini melalui 58 Klinik Nur Sejahtera dan 57 pusat mamogram swasta yang berdaftar.

“Sejak dilancarkan, promosi program mamogram yang dijalankan oleh LPPKN telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan dan di luar jangkaan.

“Kita menjangkakan peruntukan sedia ada akan cukup sehingga ke akhir tahun ini, tetapi nampaknya promosi itu mendapat sambutan yang begitu ramai terutama golongan wanita dalam bandar.

“Subsidi ini diberikan kepada mereka yang berpendapatan isi rumah RM10,000 dan ke bawah, sebab itu ramai yang layak mendapat subsidi berkenaan sehingga peruntukan yang sedia ada kita jangkakan sehingga Ogos sahaja.

“Walau bagaimanapun, golongan wanita tidak perlu bimbang kerana usaha untuk mamogram ini akan diteruskan pula oleh Kementerian Kesihatan sendiri kerana mereka mempunyai kepakaran, peruntukan dan klinik-klinik yang sesuai untuk pemeriksaan mamogram,” ujarnya.

Azizah turut menjelaskan kementeriannya sebelum ini mengadakan kerjsama dengan klinik-klinik swasta dan menanggung kos pengangkutan, tempat tinggal dan sebagainya bagi membolehkan wanita dari luar bandar mendapatkan pemeriksaan tersebut.

“Kadang-kadang kita juga mengangkut wanita dari kawasan luar bandar. Jadi, kita bukan sahaja memberi subsidi untuk mamogram, tetapi juga pengangkutan, tempat tinggal dan semua kos kita masukkan untuk membantu rakyat.

“Kita dengan rela hati menyerahkan tanggungjawab ini kepada KKM untuk meneruskan kerja-kerja yang sangat baik ini,” tambahnya.

Beliau ditemui media pada Majlis Ihya Ramadan di SMK Beaufort 2 di sini, pada Rabu.

Menurutnya, program tahunan di sekolah angkat Ahli Parlimen Beaufort itu bertujuan menjalin keakraban silaturahim antara wakil rakyat, guru-guru dan para pelajar untuk menjana kejayaan yang lebih cemerlang.

Pada majlis itu, Azizah bersama Pengetua SMK Beaufort 2, Che Ros Bakar turut menyampaikan sumbangan kepada 20 pelajar miskin.

SF

Tinggalkan komen anda