Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelakaViral

Takbir Di 96 Rumah, Tradisi Kampung Morten

By 12 Julai 2016Tiada komen3 minit bacaan

 

 Oleh Fauzrina Hj Bulka (Melaka) / Foto: Datuk Roslan Eusoff

MELAKA, 12 Jul (Malaysiaaktif) – Kampung Morten merupakan sebuah perkampungan tradisional satu-satunya terletak di tengah-tengah Bandaraya Melaka, di mana rata-rata penduduknya adalah kaum Melayu.

Dinamakan sempena pesuruhjaya Tanah pada awal 1920-an, J.F Morten yang telah memainkan peranan besar dalam membangunkan perkampungan ini yang dahulunya merupakan sebuah kawasan paya, Kampung Morten terkenal kerana masih mengekalkan identiti Melayu meskipun dikelilingi bangunan-bangunan moden di sekelilingnya.

Menjelang 1 Syawal saban tahun, penduduk Kampung Morten, di sini mempunyai satu tradisi yang cukup unik. Sudah menjadi satu kemestian untuk penduduk setempat berkunjung dari satu rumah ke satu rumah untuk bertakbir beramai-ramai.

“Usai bertakbir dan bertahlil di Surau Al-Abidin, penduduk kampung akan dibahagikan kepada lima kumpulan. Setiap kumpulan yang terdiri daripada 20 hingga 30 orang akan bertakbir ke setiap rumah,” ujar Ketua Kampung Morten, Abdullah Thamby Husin.

pic5

Tambahnya, takbir akan bermula sekitar pukul 9.00 malam dan akan selesai kira-kira pukul 1.00 pagi di rumah terakhir. Keesokan hari pula, penduduk kampung yang rata-ratanya mempunyai pertalian keluarga akan berkunjung sesama mereka.

“Di Kampung Morten ini, kita masih dapat merasai keceriaan suasana Aidilfitri kerana pelita akan dinyalakan di sekitar rumah seawal malam tujuh likur dan kanak-kanak masih berkunjung ke rumah untuk mengutip duit raya,” kata Abdullah ketika ditemui Malaysiaaktif di rumahya.

Ketika ditanya perbezaan sambutan raya pada zaman dahulu dan sekarang, Abdullah menjelaskan pada zaman kanak-kanaknya, pelbagai juadah tradisi masih boleh diperoleh jika berkunjung ke rumah saudara mara.

pic 4

“Dulu orang kampung sering bergotong royong membuat sagun, dodol, wajik, kuih bangkit dan kuih kering. Tapi sekarang, ada antara juadah tersebut sukar ditemui ketika berkunjung dan amalan gotong royong juga semakin pudar.

“Ibu bapa pada waktu itu akan membawa anak-anak menziarahi saudara-mara supaya sentiasa saling mengenali dan merapatkan silaturahim, namun kini, kebanyakan anak-anak lebih suka melayan telefon bimbit daripada bertegur sapa dengan saudara-mara,” luah Abdullah.

Katanya lagi, budaya menghantar dan menerima kad raya semakin hilang ditelan zaman. Dengan kemajuan teknologi kini, ucapan raya hanya disampaikan melalui pesanan ringkas dan aplikasi WhatsApp.

“Menjadi tugas kita sebagai ibu bapa untuk mengembalikan semula amalan tradisi kita supaya tidak dipinggirkan oleh generasi akan datang, jika tidak, anak-anak tidak akan kenal saudara mara ataupun makanan tradisi,” tegasnya.

Dalam pada itu, pemilik Villa Sentosa, Hajjah Embok Mah Haji Hashim, 84, berkata adakalanya kanak-kanak akan bertandang seawal 5.00 pagi ke rumahnya namun dia tidak menolak kehadiran mereka. Embok Mah tetap melayani tetamu ciliknya kerana gembira melihat keceriaan mereka menyambut hari raya.

“Dulu makcik rajin membuat kuih raya terutama sekali tart nenas, namun bila badan dah tak kuat, semua hanya mampu dibeli sahaja,” katanya.

Tambahnya lagi, pelita juga telah disediakannya dan hanya menunggu anak buah untuk menolong memacakkannya di sekitar rumah.

“Selagi makcik masih ada, makcik pasti membuat rumah terbuka pada raya pertama sebab di sinilah keluarga besar makcik berkumpul setahun sekali,” ujar Embok Mas.

Malaysiaaktif turut berkesempatan bertemu mantan Pegawai Daerah Jasin, Datuk Roslan Eusoff yang merupakan anak jati kampung tersebut untuk bertanyakan pengalaman beliau.

pic3

“Saya ikut kumpulan takbir seawal usia tujuh tahun dan hingga kini, di usia saya berumur 54 tahun. Pengalaman yang tidak dapat saya lupakan pada sekitar tahun 1984, kumpulan kami kurang tiga rumah untuk dilawati sebab telah hangus dalam satu kebakaran. Tapi, kami takbir juga di bekas rumah terbakar itu,” ujarnya.

Tambahnya, tradisi yang masih dilakukan ini sangat bagus dipertahankan, kerana setiap tahun, mereka dapat kenal setiap seorang yang tinggal di kampung dan dapat berjumpa sesiapa yang sihat dan juga sebaliknya.

 

 

-DZ

Tinggalkan komen anda