Skip to main content
Berita TempatanKuala LumpurViralWilayah Persekutuan

AKRAB Dekati Kanak-Kanak Pelarian Rohingya

By 19 Ogos 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh : Fauziah Hussain (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Malaysiaaktif) – “Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (AKRAB KKMM) mendekati kanak-kanak di sini dengan menggunakan pendekatan terapi seni”.

Demikian menurut Pegawai Psikologi KKMM, Siti Syahida Jamalluddin semalam dalam Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di Madrasah Anak-anak Yatim dan Tahfiz Al-Quran  Hashimiah, Selayang yang menempatkan 161 orang kanak-kanak pelarian Islam Rohingya.

Tambahnya, “Kesan aktiviti ini dilihat berjaya kerana kanak-kanak gembira dan lukisan mereka dihargai”.

“Selain menjalankan tugas dan tanggungjawab sosial, program ini juga bertujuan memberi peluang kepada ahli AKRAB mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran bimbingan berkelompok yang dipelajari”, ujar beliau.

WhatsApp Image 2016-08-19 at 09.09.07 (1)

 

Terdahulu, Setiausaha Bahagian Kanan Pengurusan selaku Penasihat, Datuk Samsuni Mohd Nor menyatakan AKRAB merupakan agen transformasi yang memfokus ke arah minda positif.

“Mereka perlu sentiasa bersiap siaga menyumbang tenaga dan idea dalam memperkasakan penyampaian perkhidmatan di jabatan”, katanya.

“AKRAB perlu berperanan memanfaatkan individu lain terutama kepada masyarakat”, ujarnya lagi.

Terapi seni merupakan proses penyembuhan klien bertujuan membantu mereka menzahirkan ekspresi diri seperti melukis. Proses kreatif yang terlibat ini dapat membantu mengurus masalah, membangun dan menjajarkan tingkah laku dan perasaan di samping mengurangkan stres serta meningkatkan harga diri dan kesedaran.

Ketua fasilitator, Nik Zulkifli Nik Hitam berkata, “Pengalaman ini baharu bagi saya dan ini sangat membantu pelajar serta komuniti setempat kerana mereka berhak ceria dan memiliki nilai-nilai positif”.

Selain aktiviti melukis, sesi refleksi diri dan beberapa permainan menarik termasuk  penyerahan 300 buah buku oleh AJK Kempen 3B ‘Baca Bersama BERNAMA’ turut disumbangkan.

WhatsApp Image 2016-08-19 at 09.09.05 (1)

 

Timbalan Pengerusi I Kempen 3B, Hajah Hasnita Ibrahim berkata “Buku-buku ini diberi bagi meningkatkan budaya membaca dalam kalangan kanak-kanak ini”.

Seramai 10 orang AKRAB KKMM serta Jabatan dan Agensi di bawahnya hadir ke program ini.

AKRAB  atau akronim ‘Amanah, Komitmen, Rasional, Akhlak dan Bestari’ merupakan satu kumpulan membimbing ditubuhkan selaras dengan pelaksanaan rakan-rakan lain dalam perkhidmatan awam selaras Pekeliling Perkhidmatan bilangan 18 tahun 2005 yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

-DK/AAS

Tinggalkan komen anda