Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala LumpurViral

Aktivis Sehati Sejiwa Perjuang Semangat Sukarela

By 29 Ogos 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh: Aimi Huwaina & Syed Hisham Shah (Putrajaya)

KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Malaysiaaktif) – Bagi melahirkan masyarakat prihatin, aktiviti sukarelawan semakin mendapat sambutan di seluruh dunia. Sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-59 ini, seramai 300 belia daripada 3,360 yang mendaftar, telah terpilih sebagai sukarelawan atau Aktivis Sehati Sejiwa.

Menurut Siti Fatimah Mohamed Yusop, 23, dari Klang, penyertaannya sebagai Aktivis Sehati Sejiwa ini memberikan seribu satu pengertian kepada dirinya.

“Selama ini saya hanya ‘menyertai’ sambutan hari kebangsaan dengan menonton di kaca televisyen sahaja. Tahun ini saya menyertai sebagai seorang sukarelawan.

“Biarpun hanya mengedarkan bendera kepada orang awam, saya kini mengerti erti pengorbanan terutamanya prajurit tanah air yang berkorban nyawa kepada negara, ” ujarnya selepas raptai perarakan Hari Kebangsaan di Dataran Merdeka, pagi tadi.

Siti Fatimah Mohamed Yusop, 23

Tambah Siti Fatimah, dia tidak menolak kemungkinan untuk menyertai majlis seumpama ini di masa-masa akan datang sekiranya diberi peluang.

Seorang lagi Aktivis Sehati Sejiwa yang ditemui Malaysiaaktif, Mohd Rifhan, 30, yang bekerja di bahagian sumber manusia di sebuah syarikat swasta berkata, kerjayanya tidak menjadi penghalang untuk menyertai aktiviti-aktiviti sukarelawan seperti ini.

“Memang dari dulu lagi saya nak sertai program-program di Dataran Merdeka ini tetapi tak tahu caranya… Jadi pada tahun ini, apabila kata ada peluang, saya ambil peluang itulah.

“Satu pengalaman yang memang tak dapat dilupakan. Memang menarik, tak ada tekanan apa pun. Benda yang kita minat, apa pun yang kita buat mesti jadi minat,” jelas Rifhan.

Tambah Rifhan, bukan mudah bagi semua pihak untuk menonjolkan dan melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti yang berasaskan patriostisme.

“Budak-budak zaman sekarang ini, kalau kita kata tentang sukarelawan, mereka akan fikir tentang duit… Nak jadi sukarelawan ini sebenarnya tak ada benda yang susahpun. Sukarelawan ini terpulang kepada hati kita, kalau kita betul-betul minat, benda itu akan jadi mudah bagi kita.

“Bila sertai sukarelawan, kita akan dapat kebaikan-kebaikan seperti jumpa ramai orang, lebih ramai kawan dan berpeluang untuk mendedahkan diri kita kepada dunia, jelas Rifhan.

WhatsApp Image 2016-08-29 at 3.42.31 PM

Sementara itu, menurut Pengarah Bahagian Gerak Saraf dan Pengurusan Isu, Jabatan Penerangan Malaysia, Hashim Bedu, tujuan Aktivis Sehati Sejiwa ini diadakan adalah untuk memupuk semangat sukarela dalam kalangan rakyat malaysia.

“Apabila ada perayaan bulan kebangsaan seperti ini, kita nak penglibatan semua pihak. Selama ini bila ada perayaan seperti ini, lazimnya pihak kerajaan atau swasta yang terlibat.

“Dengan adanya konsep kesukarelaan ini, rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat dapat menyumbang untuk sama-sama melaksanakan program yang berbentuk kenegaraan dan sebagai salah satu sumbangan rakyat kepada kerajaan dalam memupuk semangat cintakan negara dan menggelorakan semangat patriotik,” jelas Hashim kepada Malaysiaaktif.

Matlamat utama Aktivis Sehati Sejiwa telah memasuki tahun kedua penganjurannya ini adalah untuk menerapkan nilai-nilai murni seperti semangat kerjasama dan bersatu padu, di samping mengukuhkan semangat membina dan berbakti kepada negara menerusi aktiviti-aktiviti kesukarelawan.

Tinggalkan komen anda