Skip to main content
Berita TempatanSabah

Aktivis #sehatisejiwa Semai Semangat Sukarelawan

By 10 Ogos 2016Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

Oleh Liza Abdullah/ Yahya Abdul Rajak/ Vicky Sylvester Matanjang & Jeffren Malaning (Sabah)

TAWAU, 10 Ogos (Malaysiaktif) – Tidak meriah sesuatu acara tanpa ada sorakan, Tidak lancar sesebuah majlis tanpa khidmat sukarelawan. Tidak maju sebuah bangsa tanpa ada semangat kekitaan sukarelawan.

Tidak dinafikan peranan sebagai sukarelawan sememangnya besar dan tidak ternilai. Sumbangan dan tindakan sukarelawan menjayakan sesuatu acara memang tiada harganya.

Pengorbanan sukarelawan begitu tinggi pekertinya, penat lelah, berpanas, berhujan dan bekerja tanpa mengira waktu merupakan aset tidak ternilai dalam membangunkan negara yang harmoni.

aktivis3

 

Melihat kepada pentingnya semangat dan sifat kesukarelawan ini disemai dalam jiwa remaja dan belia, Jabatan Penerangan Malaysia mengorak langkah mempromosikan pendaftaran kepada semua lapisan masyarakat yang ingin menjadi Sukarelawan.

Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2016 di Dataran Majlis Perbandaran Tawau pada 6 Ogos 2016 berjaya melahirkan seramai 500 orang yang berminat bergelar Sukarelawan.

Pegawai Bahagian Gerak Saraf dan Pengurusan Isu Jabatan Penerangan Malaysia, Juhannis Idris ketika ditemui berkata aktivis #sehatisejiwa berperanan dalam mempromosikan program-program yang diadakan dengan mengedar risalah dan menguar-uarkan maklumat menerusi media sosial.

“Aktivis ini juga terlibat mengedarkan Jalur Gemilang serta menjadi pasukan sorak bagi memeriahkan lagi acara semasa majlis pelancaran bulan kebangsaan dan kibar jalur gemilang.

Jelasnya lagi, Aktivis #sehatisejiwa ialah badan sukarelawan yang ditubuhkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia bertujuan memupuk semangat kesukarelawan dalam kalangan anak muda dan belia negara.

“Sukarewan ini akan dilibatkan dalam setiap program yang dianjurkan kerajaan sekali gus bertindak sebagai ejen kepada kerajaan khususnya dalam membudayakan program-program dan dasar-dasar kerajaan kepada rakyat,” ujarnya.

 

aktivis 1

 

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Geraksaraf dan Pengurusan Isu Sabah, Mohd Ariffin A.M Nordin, berkata seramai 300 aktivis #sehatisejiwa terdiri daripada 125 pelajar Kelab Setia 1Malaysia SMK Abaka, SMK Kinabutan dan SM Konven St.Urusula, 120 dari Kolej Jururawat, 20, Siswa siswi UiTM Tawau, Komuniti 1Malaysia seluruh Tawau, Persatuan Rumpun Sosial Lundayeh dan individu dari pelbagai agensi terpilih menjayakan pelancaran hari kebangsaan, Kibar Jalur Gemilang di Tawau baru-baru ini.

Ariffin ketika dihubungi Malaysiaaktif semalam, menjelaskan lagi, ‘Aktivis’ dilihat lebih menggambarkan semangat muda belia yang bergelora melalui singkatan ‘Aktif’ dan aktivis sering dikaitkan dengan kumpulan lantang bersuara, namun kita cuba serapkan persepsi positif terhadap belia melalui pelbagai aktiviti kebajikan sosial terutama dalam menyemarakkan gelora rakyat untuk berasa bangga menyambut Hari Kebangsaan.

Bagi Amisah Alimuddin, Guru Penyelaras Kelab 1Malaysia SMK Abaka, Tawau mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Penerangan kerana memberi peluang kepada pelajar Kelab 1Malaysia menyertai aktivis #sehatisejiwa bersama menjayakan pelancaran Hari Kebangsaan tersebut.

“Para pelajar amat teruja bukan semata-mata untuk mendapatkan label peringkat kebangsaan, tetapi lebih penting daripada itu mereka dapat menjadi sebahagian daripada penganjuran program yang julung kali diadakan di daerah ini di samping dapat menyumbangkan tenaga demi negara tercinta”, katanya.

Sementara itu, pencarian Aktivis masih dibuka untuk program Hari Kebangsaan dan Sambutan Hari Malaysia. Belia yang berminat boleh mendaftar secara dalam talian (online) melalui laman sesawang www.penerangan.gov.my atau terus ke Pejabat Penerangan yang berhampiran.

 

-SF/AAS

Tinggalkan komen anda