Oleh: Fauzrina Hj Bulka (Melaka) / Foto: Laman Web JKJR
MELAKA, 5 Ogos (Malaysiaaktif) – Kemalangan yang melibatkan golongan remaja terutama sekali pelajar-pelajar sekolah sejak kebelakangan ini menimbulkan kebimbangan yang memerlukan satu pendekatan lebih rasional diambil untuk membendung masalah ini daripada terus berlaku.
Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Shantini Vatumalai berkata demikian kepada pemberita ketika Majlis Pelancaran Program SELAMAT di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Infant Jesus Convent, Melaka, petang semalam.
Katanya, JKJR bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan dengan memberikan buku bertajuk ‘Pendidikan Keselamatan Jalan Raya’ kepada semua sekolah dan akan diajar kepada pelajar sewaktu matapelajaran bahasa Melayu supaya mereka lebih faham tentang keselamatan jalan raya dalam usia muda.
“Ini merupakan program pertama usahasama dengan sekolah yang dilaksanakan sempena sambutan Bulan Kebangsaan. Sebanyak 10 buah topi keledar dan juga jaket pelindung lutsinar turut diagihkan kepada pelajar-pelajar,” ujar Shantini.
Menurut Pemangku Pengetua SMK Infant Jesus Convent, Dennis Ee Cheng Hwee, pendidikan pencegahan jenayah dan keselamatan jalan raya harus dimulakan sejak sekolah lagi. Salah satu cara ialah dengan mendidik para pelajar melalui aktiviti ceramah dan pameran.
“Atas rasa kesedaran itu, sekolah mengadakan Majlis Pelancaran Program SELAMAT semasa pelancaran Hari Kokurikulum, Hari Kualiti dan Hari Kemerdekaan sebagai platform untuk para pelajar menambah pengetahuan mereka mengenai keselamatan jalan raya di samping mengetahui tugas agensi terlibat secara dekat,” jelas Dennis.
Pelbagai agensi turut memberi kerjasama dalam program yang dijalankan sepanjang hari tadi seperti JKJR, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Institut Memandu Malacca Safety Driving Centre (MSDC SDN BHD).
Dalam pada itu, pelbagai pengisian yang lain turut diadakan seperti persembahan taekwando, cheerleading, kawad kaki badan beruniform, penggayaan pakaian rakyat ASEAN, dan flying fox.
Turut hadir, Ketua Sektor Pembangunan Kemanusiaan, Jabatan Pelajaran Melaka, Husin Haji Chek.
-DZ