Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelakaViral

Lima Pelajar 19 Tahun Bakal Buka Francais Perniagaan

By 15 Ogos 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh: Fauzrina Hj Bulka

MELAKA, 15 Ogos ( Malaysiaaktif) – Mempunyai lima rakan niaga berasal dari negeri yang berlainan memberi inspirasi kepada pemilik Drip and Dry Cleaning Services untuk membuka francais perniagaan mereka sendiri seusai menamatkan pengajian.

Menurut pemilik yang berasal dari Ampang, Nurul Amira Rozaini, 19, sekurang-kurangnya tiga francais dirancang akan dibuka iaitu di Selangor, Negeri Sembilan dan termasuklah Melaka sendiri.

Apa yang lebih membanggakan, semua pemilik perniagaan tersebut merupakan pelajar semester empat, Sijil Operasi Perhotelan di Kolej Komuniti Bukit Beruang Melaka (KKBBM), di sini.

Empat yang lain ialah Nazarul Khairi Hazri Sah dari Pedas, Negeri Sembilan, Amirrul Rahman Mohd Yasin dari Masjid Tanah, Melaka, Nurul Ilahi J.Shamsul dan Nadiah Qistina Sidek masing-masing dari Pelabuhan Klang, dan Meru, Klang Selangor.

Memasuki lima bulan menjalankan perniagaan, mereka membersihkan rumah, menggosok dan melipat baju dengan modal sebanyak RM350 oleh Bahagian Keusahawanan, KKBBM.

“Kami gunakan duit modal yang diberi untuk membeli bahan dan peralatan untuk pembersihan dan juga untuk mendaftarkan perniagaan kami di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM),” ujar Amira.

Tambahnya, mereka mengenakan caj serendah RM50.00 untuk membersihkan rumah, RM1.00 untuk setiap helai pakaian yang perlu digosok dan RM10.00 untuk sebakul kecil pakaian untuk dilipat.

“Kami langsung tak ambil untung semasa mula berniaga dulu. Kami sediakan tabung dan masukkan untung yang kami dapat untuk bayar semula duit modal yang kolej bagi,” jelas Amira yang akan menamatkan pengajian pada Oktober ini dan meneruskan dengan praktikal sehingga Mac tahun hadapan.

Menurutnya lagi, mereka mengambil masa selama tiga bulan untuk membayar semula pinjaman yang diberikan memandangkan perniagaan mereka hanya beroperasi tiga hari seminggu iaitu Jumaat, Sabtu dan Ahad. Namun, mereka mampu memperoleh lebih RM150 seminggu.

“Kami menggunakan waktu hujung minggu untuk berurus niaga supaya tidak mengganggu waktu pembelajaran kami. Kalau tiada tugas, kami akan melakukan tugas sebagai pramusaji di hotel pula mengikut tempahan,” katanya.

Seorang pelanggan tetap Drip & Dry Cleaning Services yang ditemui, Abdul Latif Yakub, 41, yang menggunakan khidmat membersihkan rumah dan menggosok berkata bayaran yang dikenakan amat berpatutan dengan kualiti kerja yang dihasilkan.

“Budak-budaknya rajin dan tekun buat kerja, hasil kerjanya pula rapi dan bayaran yang dikenakan amat berpatutan.

“Mereka berjaya menerapkan apa ilmu dan kemahiran yang mereka belajar dalam kelas untuk jana pendapatan bagi menambah duit belanja harian,” katanya ketika ditemui di kedai inkubator Drip & Dry Cleaning Services di Batu Berendam.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda