Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelakaViral

Melaka: Sekolah Beri Nafas Baru Pengisian Hari Kebangsaan

By 4 Ogos 2016Tiada komen3 minit bacaan

 

 Oleh: M Zakry Chan & Salina Hasan @ Abd Rashid  

MELAKA, 4 Ogos (Malaysiaaktif) – Hari Kebangsaan yang bakal tiba membuatkan para pelajar dan guru bersemangat dan pihak sekolah telah pun memulakan pelbagai program untuk menyambut hari bersejarah tersebut.

Antara program wajib sekolah-sekolah setiap kali Bulan Kebangsaan adalah Kempen Kibar Jalur Gemilang dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Tanjung, Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit China dan SK Seri Machap, Bukit Sedanan, Jasin juga tidak terkecuali dalam hal ini.

Pada 1 Ogos, SMK Seri Tanjung menerima 500 helai jalur gemilang dan 200 tiang bendera daripada Pejabat Penerangan Daerah Melaka Tengah bagi menyemarakkan lagi sambutan tersebut.

Sambutan Bulan Kebangsaan yang diraikan saban tahun mungkin nampak sama, namun, pihak sekolah memastikan pengisiannya akan diubah suai bagi memberi kelainan kepada sambutan hari bersejarah tersebut.

Syair Merdeka oleh Murid Tahun 3 SK Seri Machap, Jasin.

Syair Merdeka oleh Murid Tahun 3 SK Seri Machap, Jasin.

Guru Besar SK Seri Machap, Othman Abd Wahid, 56, turut mengambil langkah untuk merangka program yang diberi nafas baru.

“Pengisian dibuat berlainan dari tahun-tahun lepas agar anak murid bersemangat untuk mengambil bahagian dalam aktiviti yang dirancang,” jelasnya.

Selain Kempen Kibar Jalur Gemilang, SK Seri Machap turut merancang beberapa aktiviti lain seperti Pertandingan Kelas Ceria Merdeka, Larian Merdeka, Pertandingan Mendeklamasi Sajak Merdeka dan Pertandingan Mencari Maklumat Kemerdekaan.

Kayuhan Merdeka para pelajar SK Seri Machap, Jasin.

Kayuhan Merdeka para pelajar SK Seri Machap, Jasin.

Manakala, SMK Seri Tanjung pula mengadakan Bicara Tokoh, Pertandingan Nyanyian Patriotik dan Sayembara Puisi Kemerdekaan dan SK Bukit China meriahkan Bulan Kebangsaan dengan Motivasi Merdeka, Bulan Kecergasan, Kempen 1 Keluarga 1 Tin Cat dan Kelas Abad ke-21 Fasa Dua.

Menurut Guru Besar SK Bukit China, Muhammad Nor Hamzah, program seperti ini bertujuan untuk menjadikan sekolah sebagai satu institusi yang ceria, indah dan sesuai dengan suasana perayaan Bulan Kebangsaan.

Pelajar SK Bukit China

Para pelajar SK Bukit China ketika Kempen Kibar Jalur Gemilang.

“Program ini juga sebagai platform memupuk kesedaran dalam kalangan warga sekolah tentang kepentingan mengekalkan, menghargai dan mensyukuri nikmat kemerdekaan negara,” jelas Muhammad Nor.

Guru Penolong Kanan Pra Persediaan Universiti, SMK Seri Tanjung, Haji Borhan Mohd Nor, 54, berkata program ini juga adalah satu bentuk sahsiah diri kepada pelajar dalam memupuk semangat cintakan negara.

Guru Penolong Kanan Pra Persediaan Universiti, SMK Seri Tanjung, Haji Borhan Mohd Nor - Pengisian jati diri dalam kalangan pelajar amat penting.

Guru Penolong Kanan Pra Persediaan Universiti, SMK Seri Tanjung, Haji Borhan Mohd Nor – Pengisian jati diri dalam kalangan pelajar amat penting.

“Pengisian jati diri dalam kalangan pelajar amat penting kerana mereka merupakan golongan yang mudah terpengaruh, agresif dan terburu-buru dalam melakukan sesuatu perkara.

Mereka juga mudah terdedah kepada perkara atau aktiviti yang berunsur negatif, justeru, program seumpama ini sudah tentu akan menjadi benteng kepada pengaruh negatif tersebut,” ujarnya.

Selain itu, Guru Penolong Kanan SK Seri Machap, Jamaludin Nordin pula berkata, program yang akan diadakan berterusan ini menerapkan semangat patriotisme dalam kalangan murid dan juga guru sekolah.

SMK Seri Tanjung

Para pelajar bersama guru SMK Seri Tanjung bangga mengibarkan Jalur Gemilang.

“Masyarakat, terutamanya generasi muda, harus bangga mengibarkan Jalur Gemilang sebagai penghargaan atas pengorbanan nenek moyang kita yang berjuang berhabis-habisan menentang penjajah kerana sayangkan tanah air,” katanya kepada Malaysiaaktif.

Pada 6 Ogos ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2016 yang akan diadakan di Tawau, Sabah.

Kemuncak sambutan berkenaan yang masih mengekalkan tema ‘Sehati Sejiwa’ adalah pada 31 Ogos yang akan diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur dan penutup pada 16 September di Sarawak.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda