Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelakaViral

PVATM Gesa Buka Ruang Pekerjaan untuk Pesara Tentera

By 25 Ogos 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh: Fauzrina Hj Bulka

MELAKA, 25 Ogos (Malaysiaaktif) – Masalah membabitkan pesara tentera yang perlu bersaing dengan orang-orang muda yang berpelajaran tinggi untuk mendapatkan peluang pekerjaan bukanlah satu benda baharu.

Yang Dipertua Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Melaka, Datuk Mohd Fazil Shafie, kesal kerana banyak perkara membabitkan pesara tentera tidak diberi perhatian sewajarnya oleh pihak yang bertanggungjawab.

Mnurutnya, perkara utama yang menjadi persoalan ialah sijil kemahiran kebanyakan pesara tidak diiktiraf agensi kerajaan. Ini termasuk dalam bidang kejuruteraan, perubatan dan pengendalian kenderaan, sedangkan anggota tentera juga menjalani kursus kemahiran sama seperti dipelajari orang awam.

“Mereka bersara ketika berumur serendah 39 tahun, isteri pula mungkin sekitar 35 tahun dan anak-anak masih kecil, tapi gaji sudah tinggal separuh. Jadi, kita berharap kerajaan prihatin terhadap mereka supaya diberi peluang dalam mencari pekerjaan kerana mereka ini masih bertenaga.  Kalau tidak, kebanyakan mereka hanya jadi pengawal saja.

“Kebanyakan tentera bila bersara umur 40 tahun, mereka berminat menceburi bidang perniagaan tapi kurang pengalaman. Jadi, mereka tidak mendapat pulangan yang diharapkan. Untuk belajar berniaga pula perlu masa yang panjang. Akibatnya, duit simpanan akan habis begitu sahaja kerana ketiadaan kemahiran,” jelas Mohd Fazil kepada Malaysiaaktif selepas melawat pesara tentera, Harun Durani, 82, yang pernah berkhidmat di Congo di Alor Gajah, semalam.

Justeru, Mohd Fazil meminta agar sijil yang dikeluarkan oleh Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera Malaysia (PERHEBAT) diiktiraf dan diselaraskan dengan sijil kemahiran yang dikeluarkan kerajaan mahupun mana-mana institusi untuk memudahkan pesara mendapat peluang pekerjaan yang baharu dan tidak perlu menyusahkan kerajaan selepas bersara.

Datuk Hj Mohd Fazil

Datuk Mohd Fazil Shafie – “Pesara tentera mempunyai kemahiran, gunakan kemahiran mereka, jangan sia-siakannya.”

 

Dalam pada itu, Mohd Fazil juga berharap semua bekas tentera agar berdaftar dengan persatuan supaya mereka mudah dikesan kerana setiap tahun pelbagai sumbangan diberikan untuk menjaga ahli-ahli yang kini menjangkau 11,289 orang di Melaka sahaja.

“Sebab itu, tahun ini kita hanya mengenakan yuran sebanyak RM10 sahaja untuk ahli baru PVATM bagi tujuan membuat kad. Kita tak mahu duit pendaftaran kerana tujuan kita adalah untuk memudahkan kita mengesan keberadaan mereka,” ujar Mohd Fazil.

Kata Mohd Fazil, dia turut berharap agar rakyat Malaysia menghargai bekas tentera, terutamanya dengan menghulurkan sumbangan bila kempen Hari Pahlawan kerana adakalanya bekas tentera dipandang seolah-olah peminta sedekah.

“Mereka sepatutnya dihargai, kalau bukan sebab pahlawan, kita tak akan dapat kemerdekaan, dan tak akan ada 31 Ogos. Kemerdekaan dan kemanan kini membolehkan kita dapat berniaga dan merasa untung rugi. Rasanya tiada masalah jika menderma sedikit kepada tabung pahlawan,” katanya.

Mohd Fazil berharap, nasib pesara tentera di seluruh negara yang ketika ini, masih ada di antara mereka yang masih mencari-cari peluang pekerjaan selepas berhempas-pulas berkhidmat untuk negara tercinta mendapat pembelaan yang sewajarnya.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda