Skip to main content
Berita TempatanSabah

SKR1M Rapat Jurang Digital

By 15 Ogos 2016Tiada komen2 minit bacaan

 Oleh: Muhammad Khairul Azad Yunus & Johnny Joklis (Sabah)

KOTA KINABALU, 15 Ogos (Malaysiaktif) – Projek Sistem Kabel Rakyat 1Malaysia (SKR1M) akan meningkatkan kapasiti dan kualiti perkhidmatan komunikasi sekali gus merapatkan jurang digital antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak.

Pembinaan SKR1M merupakan satu inisiatif kerajaan di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang menyasarkan sekurang-kurangnya 95 peratus kawasan berpenduduk mempunyai akses Internet menjelang 2020.

Menurut Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Jailani Johari, projek Perkongsian Awam-Swasta (PPP) antara Telekom Malaysia Berhad (TM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) itu meliputi pelaksanaan sistem kabel dasar laut sepanjang hampir 3,800 kilometer bernilai RM619 juta.2Copy of _VSM9031

“SKR1M menyediakan pilihan laluan kepada sistem dasar laut sedia ada yang mempunyai kapasiti terhad dan menghampiri penghujung tempoh jangka hayat.

“Projek yang bermula tahun lepas dan dijangka siap pada Jun 2017 akan menyediakan kapasiti jalur lebar sebanyak empat ‘Terabyte’ per/saat.

“Selain Kota Kinabalu, kabel SKR1M juga telah mendarat di Mersing, Kuching, Bintulu dan seterusnya Miri dalam masa terdekat,” katanya semasa merasmikan Majlis Pendaratan Kabel Dasar Laut SKR1M di Tanjung Aru dekat sini, pagi tadi.

Menurutnya, projek itu penting bagi menampung keperluan penggunaan data yang semakin meningkat dan menyokong perkhidmatan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) serta Projek Peningkatan Kapasiti Jalur Lebar Pinggir Bandar (SUBB) yang sedang diperluas untuk memastikan capaian Internet hampir di seluruh negara.

Dalam pada itu, Jailani turut menggesa syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan jalur lebar meluaskan perkhidmatan mereka selepas  projek ini siap sepenuhnya.

“Kita menyeru  syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan jalur lebar melebarkan perkhidmatan ke seluruh pelosok negara pada kadar yang mampu dimiliki rakyat.4Copy of _VSM9115

“Persaingan sihat antara para penyedia perkhidmatan akan mendatangkan faedah  kepada semua pihak,” jelas beliau.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Sabah, Datuk Siringan Gubat berkata Kerajaan Negeri Sabah mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Pusat atas inisiatif itu.

“Kerajaan Negeri berterima kasih kepada Kerajaan Pusat kerana telah memenuhi permintaan kita berkenaan keperluan meningkatkan kapasiti Internet di negeri ini.

“Projek ini telah dicadangkan oleh Kerajaan Negeri untuk dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia ke-10(RMK-10) dan akhirnya menjadi kenyataan,” ujarnya.

Tambahnya, SKR1M amat penting bagi penduduk Sabah dan Sarawak kerana akan memudahkan penyaluran informasi, meningkatkan kualiti dan kelajuan perkhidmatan Internet serta peluang peningkatan ekonomi penduduk di man-mana sahaja mereka berada.

Teks ucapannya dibacakan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Sabah, Datuk Bruno Vun.

Hadir sama, Pengerusi  TM, Tan Sri Datuk Seri Sulaiman Mahbob dan Ketua Pegawai Komunikasi dan Ekosistem Digital, SKMM, Datuk Mohd Ali Hanafiah.

SF

Tinggalkan komen anda