Oleh Anuar Che Amat
KANGAR , 16 Ogos (Malaysiaktif) – Perpaduan merupakan perisai yang ampuh untuk mengekalkan keamanan di negara kita. Ini dinyatakan oleh Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man ketika berucap merasmikan Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Perlis di Dewan 2020 hari ini.
‘Kita tidak perlu menjadi armada laut seperti kerajaan Melaka pada zaman dahulu untuk mempertahankan negara tetapi jika kita bersatu padu, hormat menghormati semasa kaum, nescaya pihak luar yang ingin menganggu gugat negara kita pasti gagal’, katanya lagi.
Majlis yang di hadiri oleh lebih dari 1500 orang penjawat awam serta pelajar itu diserikan lagi dengan sumbangan kepada bekas-bekas perjuang kemerdekaan di negeri Perlis dan juga penyerahan Jalur Gemilang kepada wakil-wakil kerajaan dan swasta.
Seorang perjuang kemerdekaan yang di temui di majlis itu, Encik Zain Othman, 84 dari Kampung Stesen Arau meminta generasi muda pada hari ini menghargai keamanan yang negara kita kecapi pada hari ini, ‘Zaman dulu serba serbi susah, pakcik dah lalui sejak dari zaman British, Jepun dan Komunis, nak cari makanan payah dan nak belajar pun susah kerana tak banyak sekolah macam sekarang’, ujarnya.
Majlis diakhiri dengan pelepasan konvoi jalur gemilang anjuran kerajaan negeri Perlis yang melibatkan penyertaan 20 kenderaan yang mewakili 15 kawasan dewan undangan negeri.