Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelakaViral

Untung Lahir dalam Zaman Kemerdekaan

By 26 Ogos 2016Tiada komen4 minit bacaan

 

 Oleh Fauzrina Hj Bulka

MELAKA, 26 Ogos (Malaysiaaktif) – Menjelang sambutan Hari Kebangsaan ini, kelihatan Jalur Gemilang berkibaran di seluruh pelusuk negara melambangkan kemerdekaan dan keamanan negara.

Pengerusi Petubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) Melaka, Hashim Ishak yang lahir lapan hari sebelum merdeka berkata pelbagai pengalaman yang telah dilalui sebelum dan selepas dia hilang penglihatan, dan juga bagaimana dia bangkit dan menyesuaikan diri dengan kehidupan baru selepas merdeka.

“Saya lahir celik dan sihat. Sewaktu berumur 10 tahun, saya masih ingat lagi meraikan ulang tahun ke-10 kemerdekaan di Padang Pahlawan, terdapat angka 10 diletakkan di tengah padang yang diperbuat daripada lampu neon, memang sangat cantik,” ujarnya ketika ditemui di pejabatnya di Melaka, semalam.

Hashim ketika itu tinggal bersama keluarga di Kuarters Polis, Banda Hilir memandangkan ayahnya merupakan anggota polis berpangkat Sarjan yang bertugas di Melaka Sentral.

Dia turut menceritakan mengenai detik cemas ketika tanggal 13 Mei 1969. Hashim yang ketika itu baru berumur 12 tahun, terdengar tentang kekecohan yang berlaku di Kuala Lumpur selepas pilihan raya melibatkan pergaduhan kaum sehingga melarat ke Melaka pada keesokan harinya.

“Saya masih ingat, ketika itu saya baru sahaja selesai solat Mahgrib, saya terdengar seorang penarik beca meminta tolong kerana dia dilibas parang oleh pelampau kaum dan mujur ada warga Pakistan yang membantu dan membawanya ke surau di Banda Kaba,” katanya.

Tahun silih berganti, lama-kelamaan penglihatannya semakin kelam. Tahun 1974, merupakan tahun keramat kerana pada usia semuda 14 tahun, penglihatannya semakin merosot dan tiba-tiba menjadi gelap-gelita ketika bangun daripada tidur.

Hashim segera memanggil ayahnya dan memaklumkan perkara tersebut dalam tangisan. Hati ayah mana yang tidak luluh melihat nasib anaknya sebegitu, namun, sebagai seorang anggota polis, ayahnya hanya menyembunyikan rasa sedih dan memberikan kata-kata semangat kepada Hashim di samping bertekad mencari ikhtiar untuk membantunya meneruskan kehidupan.

Mengimbau kembali ingatannya ketika kejadian tersebut, kata Hashim, perkara yang melekat di ingatannya ialah tidak dapat menyaksikan siaran Piala Dunia dan melihat pasukan kegemarannya, Belanda bermain menentang Jerman.

“Saya suka membaca, dan ketika itu bahan bacaan yang popular ialah komik sukan bertajuk ‘Scorcher’. Saya sedih bila tidak dapat membaca lagi dan tidak dapat bersama-sama menyambung persekolahan di Sekolah Tinggi Melaka dengan kawan-kawan serta merasakan diri tiada masa depan,” ujar Hashim panjang lebar.

Atas bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat, Hashim seterusnya diterima masuk ke Pusat Latihan Gurney bagi orang-orang buta di Brickfields, Kuala Lumpur dan mengambil kursus Vokasional. Di situlah dia belajar mengenai braille dan hidup berdikari.

Tahun 1977 merupakan tahun yang bersejarah kerana Perdana Menteri ketika itu, Tun Hussein Onn yang juga merupakan Presiden Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) telah membuka peluang pekerjaan kepada OKU dalam sektor perkhidmatan awam.

Hashim sedang bekerja

Hashim ketika sedang menjalankan tugas di pejabat.

 

Hashim tidak mensia-siakan peluang ini dan turut memohon jawatan dalam perkhidmatan awam dan, hasilnya, dia berjaya menjadi kakitangan awam negeri di Kuala Pilah, Negeri Sembilan sebagai Operator Telefon.

Setelah enam tahun berkhidmat, pada 1983, Hashim dapat berpindah semula ke Melaka dan menjadi kakitangan awam OKU (Penglihatan) pertama di sini yang berkhidmat di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di bawah Jabatan Penerangan Malaysia.

Menurutnya, dahulu masyarakat merasakan bahawa OKU tidak akan berpeluang berkhidmat dalam JPA, namun sekarang sudah berubah, ramai yang telah menjadi cikgu dan juga operator telefon. Seiring dengan peredaran zaman, kebajikan OKU turut dinaik taraf.

“Pendidikan khas turut mula diperkenalkan di Kementerian Pelajaran dan sistem persekolahan untuk OKU juga ditambah baik selepas 20 tahun merdeka. Maka, lahirlah arwah Profesor Datuk Dr. Ismail Md. Salleh yang mendapat PhD di Amerika Syarikat bidang ekonomi sekali gus membuktikan OKU penglihatan juga boleh berjaya,” kata Hashim lagi.

Tambahnya, walaupun dia tidak dapat melihat kemajuan negara sekarang, namun beliau masih dapat merasai kemakmuran tersebut dari sudut pandangan sebagai OKU.

“Saya turut merasai perubahan daripada jalan tanah merah ke jalan raya tar, paip juga dibekalkan dan tak perlu mandi di perigi, dan bila kemudahan elektrik disalurkan, saya tidak perlu menggunakan lampu gasolin seiring dengan kemajuan negara.

“Saya berasa beruntung lahir pada zaman Malaysia merdeka, daripada British hingga sekarang kerana saya telah mengalami semua keadaan susah dan senang. Melaka, yang dahulu digelar bandar senyap, kini menjadi sebuah negeri maju.

“Malah, kini saya merupakan ahli Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah dan di hujung perkhidmatan, saya masih dapat memberi sumbangan, pandangan dan pendapat untuk kebajikan dan keselesaan OKU,” ujarnya bangga.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda